London: Gianni Infantino berpotensi meraih hampir £1 juta (RM5.51 juta) seminggu jika rancangan kontroversinya untuk menjual kepentingan Piala Dunia kepada pelabur swasta menjadi kenyataan.
Presiden FIFA itu yang menjadi tumpuan sejak bermula Piala Dunia pada Jun lalu, akhirnya terpaksa membuat pusingan U selepas menerima tentangan hebat terhadap cadangannya untuk menjual sebahagian kepentingan komersial kejohanan itu kepada pelabur.
Walaupun sebelum ini beliau menegaskan bahawa “tiada siapa menjual bola sepak”, kenaikan gaji sebanyak £42 juta (RM231 juta) berbanding gaji semasanya £4.5 juta (RM24.8 juta) setahun sudah cukup membuatkan ramai tokoh sukan iri hati.
Menurut laporan The Times, sekiranya pelan itu berjaya, Infantino dijangka dilantik sebagai pesuruhjaya atau ketua pegawai eksekutif bagi entiti baharu berkenaan dengan pakej gaji serta bonus yang amat lumayan.
Beliau dianggarkan menerima hampir £1 juta (RM5.51 juta) seminggu, bersamaan kira-kira £47 juta (RM259 juta) setahun.
Jumlah itu menyamai pendapatan pemain-pemain dengan gaji tertinggi dalam Liga Pro Saudi yang terkenal dengan tawaran kontrak lumayan.
Namun buat masa ini, Infantino mungkin perlu berpuas hati dengan gaji semasanya selepas mengumumkan beliau menarik balik rancangan membenarkan pelabur swasta membeli sebahagian kepentingan dalam kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.
Presiden FIFA itu sebelum ini berharap dapat memperoleh £3.1 bilion (RM17 bilion) dana swasta menjelang Oktober menerusi projek FFE.
Bank pelaburan Amerika Syarikat, JP Morgan, dilaporkan dilantik sebagai penasihat bagi projek tersebut.
Sementara itu, firma pelaburan Thrive Capital, yang disokong oleh menantu bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Jared Kushner, dikatakan berminat membeli pegangan sebanyak 20 peratus dalam usaha niaga berkenaan.
Bagaimanapun, cita-cita Infantino menerima tamparan hebat apabila UEFA tampil membantah cadangan tersebut.
Negara-negara anggota UEFA mengancam untuk memulaukan kejohanan FIFA akan datang termasuk Piala Dunia, manakala Concacaf serta AFC turut menyuarakan bantahan.
The Football Association juga menyokong pendirian UEFA dengan menyatakan: “Kami menyokong sepenuhnya pendirian UEFA.
Sudah tiba masanya kepimpinan dan tadbir urus FIFA dikaji secara menyeluruh bagi memastikan bola sepak dunia diuruskan secara telus, demi kepentingan kesemua 211 negara anggota serta menjamin masa depan sukan ini.”
Walaupun berdepan pelbagai kontroversi, Infantino tetap bertekad mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Presiden FIFA pada 2027.
Beliau tidak bercadang melepaskan jawatan tertinggi itu, meskipun penasihat kanannya telah meletakkan jawatan dan seluruh UEFA menentang rancangannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




