rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperkukuh lagi keupayaan siasatan dan penguatkuasaannya menerusi aset baharu, Makmal Forensik Digital yang berperanan menjalankan analisis terhadap bukti digital.
Makmal membabitkan perolehan RM8.5 juta yang dilengkapi teknologi terkini menggantikan perkakasan dan perisian berusia lebih sembilan tahun itu akan membantu proses siasatan serta pendakwaan dengan lebih berkesan.
Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, kontrak bagi perkhidmatan penyelenggaraan perkakasan dan perisian sedia ada juga sudah berakhir tahun lalu.
Katanya, aset terbaharu itu terdiri daripada beberapa komponen utama termasuk makmal forensik komputer, telefon, audio video dan dokumen.
“Seiring kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi, JKDM berhadapan dengan pelbagai bentuk jenayah yang semakin canggih. Aktiviti jenayah bukan sahaja membabitkan penyeludupan barang terlarang tetapi juga pengelakan cukai dan pemalsuan dokumen import yang amat merugikan negara.
“Sebagai agensi bertanggungjawab menjaga keselamatan ekonomi negara, JKDM perlu lebih inovatif dalam memastikan kecekapan penguatkuasaan sentiasa diutamakan.
“Makmal Forensik Digital memainkan peranan penting dalam menjalankan pemeriksaan, menganalisis dan mengeluarkan laporan pemeriksaan forensik digital bagi ekshibit seperti peranti digital, komputer dan telefon pintar yang disita semasa operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anis Rizana berkata, sepanjang tahun lalu Makmal Forensik Digital JKDM memproses 448 unit barangan digital termasuk cakera keras, pemacu pena, telefon bimbit dan kamera litar tertutup (CCTV).
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 54.8 peratus adalah bagi kes yang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 manakala Akta Dadah Berbahaya 1952 (37.8 peratus) serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (7.4 peratus).
Menurut beliau, secara keseluruhan JKDM berjaya menumpaskan 7,215 kes penyeludupan dengan nilai rampasan dan cukai RM1.644 bilion pada tahun lalu, selain merekodkan kutipan hasil bersih tertinggi sebanyak RM65.57 bilion.
Dalam pada itu, beliau berkata, JKDM turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain iaitu CyberSecurity Malaysia (CSM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui penubuhan Kumpulan Kerja Forensik Digital (KKFD).
“KKFD berfungsi sebagai platform berkongsi pengetahuan, kepakaran dan amalan terbaik dalam penyiasatan digital.
“Melalui pemerkasaan Makmal Forensik Digital itu, JKDM berharap dapat meningkatkan kecekapan penyiasatan kes membabitkan penggunaan teknologi digital seiring perkembangan teknologi maklumat serta komunikasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




