rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) mengumumkan pengoperasian semula Stesen Serdang City Gate yang ditutup sementara susulan tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, pada minggu lalu.
Gas Malaysia menerusi satu kenyataan hari ini, memberitahu perkara itu dimaklumkan pembekal Petronas Gas Berhad (PGB) bagi menyokong proses pemulihan dan mengukuhkan kestabilan bekalan gas di kawasan Lembah Klang.
“Pengoperasian semula itu dapat meningkatkan bekalan gas terutama kepada pelanggan industri di kawasan terjejas seperti Putrajaya, Kuala Lumpur, Bangi, Balakong dan Seri Kembangan.
“Melalui perkembangan itu, hanya empat stesen yang sedang dalam pemulihan oleh PGB dalam memastikan usaha memulihkan bekalan gas sepenuhnya diteruskan,” katanya.
Menurut Gas Malaysia, jumlah pelanggan yang terjejas kini berkurangan kepada 275 pelanggan berbanding 299 pelanggan sebelum ini seperti diumumkan Suruhanjaya Tenaga.
Katanya, pengurangan bekalan gas bagaimanapun dijangka berterusan sehingga 20 April ini berdasarkan notis oleh PGB.
“Kami memahami cabaran dihadapi oleh pelanggan yang terpaksa mengehadkan operasi disebabkan gangguan bekalan gas tidak dijangka,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya menafikan insiden kebakaran itu membabitkan kemudahan milik Gas Malaysia sebaliknya ia berlaku di infrastruktur milik PGB.
Gas Malaysia kekal komited memastikan pengedaran gas asli yang selamat dan boleh dipercayai melalui pembinaan saluran paip yang mematuhi peraturan ditetapkan.
Tambahnya, mengurangkan kesan kepada pelanggan, memastikan keselamatan awam dan mengekalkan integriti perkhidmatan kekal menjadi keutamaan Gas Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




