Musnah kebun Musang King bukti ketegasan kerajaan negeri

Musnah kebun Musang King bukti ketegasan kerajaan negeri

am@hmetro.com.my

Raub: Tindakan menebang dan memusnahkan pokok durian Musang King yang ditanam secara haram diatas tanah kerajaan seluas lebih 202.34 hektar di Sungai Ruan, di sini, dilakukan secara berterusan hingga selesai.

Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Saifullah Muhammad Ali, operasi bersepadu bermula semalam akan memusnahkan keseluruhan tanaman yang terdapat diatas tanah berkenaan yang sudah lama diteroka oleh individu tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, penguatkuasaan kali ini lebih bagi memusnahkan pokok durian Musang King berusia antara lima hingga 20 tahun diatas tanah seluas lebih 202.34 hektar.

Beliau berkata, agensi terbabit ialah Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Raub, serta bantuan kawalan keselamatan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Galing, Kuantan.

Saifullah berkata, kenyataan pihak tertentu operasi yang dijalankan ini melanggar perintah mahkamah, ia merupakan satu tohmahan pada kerajaan negeri dan pihak berkuasa yang terbabit.

“Ia bukan kawasan pertikaian dan tidak terbabit dalam mana-mana skim pemutihan bagi mendapatkan hasil negeri.

“Tindakan penguatkuasaan ini diangkat kepada pihak berkuasa negeri dan mendapat kelulusan untuk dilaksanakan tindakan penguatkuasaan secara pemusnahan keseluruhan,” katanya.

Beliau menambah, operasi bersepadu penguatkuasaan yang dijalankan kali ini dilakukan sebagai menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Februari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top