Penyokong KDA FC tetap yakin walaupun pasukan jadi 'lauk'

Penyokong KDA FC tetap yakin walaupun pasukan jadi 'lauk'

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Meskipun Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi mangsa kenduri dan belasahan dalam saingan Liga Super musim ini, rata-rata penyokong masih setia dan yakin skuad kendalian Victor Andrag mampu bangkit selepas ini.

Bagi mereka, pemain sudah memberikan aksi terbaik, namun beberapa faktor melanda dalam pasukan itu membuatkan KDA FC tidak berupaya tampil dengan lebih agresif dalam setiap perlawanan.

Malah, jika dibandingkan prestasi semasa dan musim lalu, jurangnya terlalu jauh sehingga sukar melihat apa yang terjadi ketika ini.

“Selaku anak jati Kedah yang menyokong pasukan ini sejak awal meminati bola sepak, bukan ini yang aku (saya) mahu lihat, juga semua peminat yang sama seperti aku.

“Dua perlawanan berturut-turut Kedah dibelasah sebanyak enam gol. Jurang perbezaan statistik musim lalu dan kini jauh berbeza. Nampak kesian muka pemain, staf dan kejurulatihan semalam (aksi menentang Sri Pahang).

“Nak kata apa lagi? Aku pun kelu. Moga semua baik-baik sahaja,” kata Afiq Rowley di media sosial miliknya.

Melihat komen di Facebook KDA FC, masih wujud sokongan daripada penyokong setia Sang Kenari biarpun pasukan mereka sering mempamerkan persembahan hambar.

“Inilah masa paling susah dan genting bagi semua pihak, selain pemain kita yang menghadapi masalah tunggakan gaji, saya percaya pihak berkuasa KDA pun bertungkus-lumus mencari penaja untuk KDA.

“Sebagai peminat setia KDA, ini masa kita satu hati memberi sokongan bagi pasukan kesayangan kita, kata-kata mengejek sikit pun tidak memberi (kesan) sokongan bagi pasukan kesayangan kita.

“Harap sebagai peminat setia KDA, kita pergi stadium sokong pasukan kesayangan kita. Satu pasukan tak berjaya tanpa penyokong setia,” kata Coway Lim.

“Aritu (Sebelum ini) 6-1 (lawan Johor Darul Ta’zim), malam ini (semalam) 6-0 (Sri Pahang). Apa-apa pun syabas KDA padanlah dan setimpal dengan kos serta bajet kelab. Jadikan pengalaman untuk pemain muda KDA,” kata Abdul Latip.

KFA FC tewas semua lima perlawanan terakhir dengan dibolosi 20 gol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top