am@hmetro.com.my
Padang Terap: Seorang ibu menerima takdir dengan reda apabila anak sulungnya yang sepatutnya menjadi harapan keluarga disahkan menghidap penyakit ‘hidrosefalus’ (lebihan cecair dalam kepala) sejak lahir.
Sepanjang hidupnya, Muhammad Hazim Muhamad Solihin, 19, hanya terlantar di atas katil selain badannya mengerekot, malah adakalanya pernah diserang sawan.
Muhammad Hazim memiliki berat badan hanya 35 kilogram (kg), malah kakinya agak kecil seperti kanak-kanak.
Ibunya, Ainshah Hasan, 40, berkata anak sulung daripada dua beradik itu tidak mampu bercakap dan perlu disuap makan serta minum selain perlu ditukar lampin pakai buang.
Katanya, keadaan itu menyebabkan Muhammad Hazim perlu dijaga seperti bayi hingga dia bimbang untuk meninggalkan anaknya seorang diri di rumah.
“Saya dan suami, Muhamad Solihin Seman, 41, bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan tidak menentu. Kalau hujan, kami tak boleh menoreh dan sumber pendapatan kami terjejas.
“Sekiranya kami keluar menoreh, saya kena pulang awal kerana tidak boleh membiarkan Muhammad Hazim seorang diri di rumah kerana anak perempuan, Nur Qalisya, 14, pula ke sekolah.
“Setiap bulan, kami terpaksa membeli lampin pakai buang dan susu untuknya, apatah lagi dalam keadaan sekarang, harga barang semuanya mahal,” katanya.
Terdahulu, keluarga itu dikunjungi Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang menyampaikan kerusi roda dan katil di rumahnya di Kampung Padang Sanai, Mukim Batang Tunggang Kanan, di sini, hari ini.
Menurut Ainshah, Muhammad Hazim lahir tidak cukup bulan iaitu 34 minggu dan doktor memaklumkan tempoh hayat anaknya ketika itu tidak lama akibat penyakitnya.
Katanya, namun dia dan suami berserah kepada Allah SWT dengan meneruskan rawatan walaupun terpaksa tinggal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selama lapan bulan.
“Namun disebabkan tidak sanggup berulang-alik ke Pulau Pinang, saya minta rawatan anak dibuat di Hospital Kuala Nerang kerana dekat dengan rumah.
“Sekarang, anak saya tak boleh buat apa-apa melainkan hanya mampu berbaring di atas katil saja.
“Saya nak sangat tambah bilik air yang lebih selesa, tetapi tidak mampu kerana dengan keadaan cuaca sekarang tidak menentu, saya tidak dapat keluar bekerja,” katanya.
Ainshah berkata, malang menimpa keluarganya apabila rumah pusaka yang didiami terbakar pada Januari lalu menyebabkan mereka terpaksa tinggal berhimpit di ruang yang ada kerana sebahagian rumah musnah.
Katanya, mereka juga tidak memikirkan sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana wang simpanan habis dibelanjakan untuk membeli susu serta lampin pakai buang selain persekolahan Qalisya.
“Kami hanya bergantung pada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sekurang-kurangnya wang itulah memberi nafas buat kami untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional 02113-41-00012320-6 atas nama Ainshah Hasan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




