New York: Lebih 112 tahun, kapal Titanic kembali ‘bersuara’ menerusi teknologi imbasan digital 3D revolusioner yang mendedahkan butiran mengejutkan mengenai detik akhir sebelum ia pecah dua dan tenggelam ke dasar Lautan Atlantik.
Portal berita Global News melaporkan, imbasan berskala penuh pertama bangkai kapal itu dijalankan syarikat pemetaan laut dalam, Magellan, dengan kerjasama Atlantic Productions, memperlihatkan struktur Titanic dan kesan kerosakan akibat pelanggaran dengan aisberg pada 15 April 1912.
Antara pendedahan penting ialah gambaran jelas bilik dandang yang menunjukkan beberapa dandang dalam keadaan lekuk ke dalam, menandakan ia masih berfungsi ketika kapal menjunam ke dasar laut sedalam 3,800 meter berhampiran Newfoundland.
Simulasi komputer mendedahkan aisberg tidak menyebabkan ‘koyakan’ besar sebaliknya hanya menghasilkan tusukan kecil dengan setiap satunya sebesar kertas A4.
Tusukan itu dalam keadaan bertaburan pada enam petak kedap air pada bahagian kapal itu. Titanic masih boleh kekal terapung jika empat petak berkenaan sudah dimasuki air.
“Titanic adalah saksi terakhir tragedi ini, dan ia masih ada kisah mahu diceritakan,” kata penganalisis Titanic, Parks Stephenson yang menyifatkan gambaran menyeluruh bangkai kapal adalah kunci memahami sepenuhnya tragedi bersejarah itu.
Penemuan itu didedahkan menerusi dokumentari Titanic: The Digital Resurrection terbitan National Geographic dan Atlantic Productions.
Ketua Pegawai Eksekutif Atlantic Productions, Anthony Geffen berkata. projek mega itu membolehkan mereka memahami bagaimana Titanic tenggelam, bagaimana setiap bahagian kapal pecah dan mungkin juga menemukan kisah peribadi yang terkubur.
Projek itu menggunakan lebih 700,000 imej untuk menghasilkan replika digital bersaiz sebenar, termasuk haluan dan buritan kapal yang terpisah sejauh 800 meter, dan dikelilingi medan serpihan besar.
Titanic dalam pelayaran sulung dari Southampton, United Kingdom (UK) ke New York sebelum melanggar aisberg dan karam. Tragedi itu meragut lebih 1,500 nyawa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




