am@hmetro.com.my
Kangar: Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah menegaskan kehadirannya bersama Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu majlis ceramah di Negeri Sembilan pada minggu lalu, tidak wajar dijadikan isu politik.
Menurutnya, ketika itu beliau hadir atas kapasiti Perikatan Nasional (PN) bagi majlis yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas dan secara kebetulan bertemu Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN) itu.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Perlis menjelaskan, tular gambarnya duduk semeja bersama Hamzah dan beberapa pimpinan politik parti lain adalah perkara biasa.
“Saya memang hadir, tetapi saya hadir atas tiket PN. Apabila saya dijemput untuk minum, saya rasa tak salah kalau PN jemput saya minum.
“Tapi biasalah, politik. Kalau tak minum pun tak kena akan jadi isu, apatah lagi kalau minum. Tapi bagi saya, dengan ikhlas hati saya bantu semua. Calon PN, semua kita campur, kita sokong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Penyerahan Bendera Negeri Perlis Tahun 2026 sempena Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Selangor 2026 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini, malam tadi.
Terdahulu, tular gambar menunjukkan Abu Bakar duduk semeja bersama Hamzah Zainuddin dan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pertemuan pada Ceramah BIRU-kan DUN Gemas di FELDA Jelai itu dilaporkan bagi membantu kempen calon PN bagi DUN Gemas Ridzuan Ahmad.
Mengulas lanjut mengenai keberadaannya di program berkenaan, Abu Bakar menyifatkan pertemuan membabitkan pelbagai pimpinan itu sebagai lumrah biasa dalam politik tanah air.
“Kebetulan saya duduk bersebelahan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dan saya juga berkesempatan berjumpa dengan Tuan Ibrahim.
“Beliau (Tuan Ibrahim) turut memberi kata-kata semangat bahawa kita nak teruskan perjuangan Perikatan Nasional berserta Barisan Nasional. Insya-Allah. Bagi saya, itu lumrah politik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




