Ezany aktif sebagai ahli akademik, takkan tinggalkan lakonan

Ezany aktif sebagai ahli akademik, takkan tinggalkan lakonan

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Ezany Nizariff, 52, tidak pernah meninggalkan bidang lakonan walaupun kini sibuk dengan kerjaya sebagai ahli akademik.

Ezany yang kini memegang tanggungjawab sebagai Pengarah Akademik di ENA EzanyNizariff Academia ketika dihubungi berkata, bidang lakonan sudah menjadi darah dagingnya sejak 25 tahun lalu.

“Minat saya terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar kerana sudah sebati. Cuma kini saya perlu lebih teliti dalam menyusun jadual kerja,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia masih lagi menerima tawaran lakonan, namun perlu disesuaikan dengan jadual komitmennya yang lain.

“Kalau diberi notis awal, contohnya dua atau tiga minggu sebelum penggambaran, saya memang boleh aturkan jadual.

“Tapi kalau dimaklumkan malam ini untuk penggambaran esok, itu agak sukar. Saya tidak mahu mengambil kerja yang akhirnya tidak dapat saya laksanakan dengan baik,” katanya.

Dia yang mengetuai ENA EzanyNizariff Academia turut bekerjasama dengan UTM SPACE Services Sdn Bhd dan KLiEC.

Melalui institusi itu, dia memiliki lesen eksklusif untuk mengendalikan jurusan Pengurusan Perniagaan Antarabangsa dan E-Dagang yang diperakui oleh London Examinations Board (LEB) United Kingdom.

Ezany juga aktif menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi-institusi dalam dan luar negara termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Mahsa, Universiti Melaka serta beberapa universiti di Thailand dan Indonesia.

Dia turut menjalankan kajian akademik bersama pensyarah dan penyelidik UUM dalam bidang Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan pembangunan kerjaya yang bakal diterbitkan oleh UUM Press.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top