zaky@bh.com.my
Kuala Lumpur
PENGUMUMAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menangguhkan pelaksanaan tarif penuh selama 90 hari memberi isyarat jelas bahawa AS masih membuka ruang rundingan sebelum melaksanakan dasar secara menyeluruh.
Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (Mata), Dr Mohd Fairuz A Razak berkata, walaupun tarif asas 10 peratus kekal dikenakan ke atas kebanyakan negara termasuk Malaysia, langkah itu memberi nafas sementara untuk penilaian semula strategi perdagangan.
Katanya, Malaysia perlu melihat perkembangan itu bukan sekadar sebagai ancaman, tetapi sebagai peluang strategik.
“Tempoh penangguhan ini boleh dimanfaatkan untuk merundingkan semula terma perdagangan dua hala, menekankan nilai Malaysia sebagai rakan dagang yang stabil, terbuka dan progresif. Kekuatan Malaysia dalam sektor teknologi, semikonduktor dan perkhidmatan profesional boleh dijadikan asas rundingan untuk mendapatkan pengecualian atau kelonggaran tarif tertentu.
“Penangguhan ini memberikan Malaysia peluang untuk merundingkan semula syarat perdagangan dengan AS, dengan harapan dapat mencapai perjanjian yang lebih adil dan menguntungkan. Banyak syarikat multinasional mencari alternatif kepada China untuk mengelakkan tarif,” katanya kepada BH.
Trump kelmarin menurunkan kadar tarif baharu ke atas import daripada kebanyakan rakan dagang AS kepada 10 peratus selama 90 hari untuk membenarkan rundingan perdagangan dengan rakan dagangnya.
Presiden AS mengumumkan penangguhan itu beberapa jam selepas barangan dari hampir 90 negara dikenakan tarif timbal balas yang lebih ketat oleh AS.
Bagaimanapun, di sebalik perkembangan terbaharu itu, Trump mengenakan lebih banyak cukai ke atas China dalam apa yang kini menjadi konfrontasi berskala penuh antara dua ekonomi terbesar dunia terbabit.
AS menaikkan tarif yang dikenakan ke atas import dari China kepada 125 peratus berkuat kuasa serta-merta.
Mengulas lanjut, Mohd Fairuz berkata, Malaysia muncul sebagai salah satu destinasi pilihan, terutama disokong infrastruktur yang baik, kestabilan politik relatif dan dasar mesra pelabur.
“Ini membuka peluang kepada sektor pembuatan dan logistik untuk berkembang,” katanya.
Beliau berkata, penangguhan tarif oleh AS memberikan peluang kepada Malaysia untuk menilai semula strategi perdagangan dan mencari jalan untuk mengurangkan impak negatif daripada dasar perlindungan kepentingan AS.
“Kerjasama serantau dan mempelbagaikan pasaran adalah penting bagi memastikan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan perdagangan global.
“Dalam era dasar luar yang tidak menentu, pendekatan ‘tunggu dan lihat’ bukan satu strategi. Malaysia perlu pantas membaca peluang daripada krisis, bersuara di meja rundingan dan memastikan kepentingan nasional sentiasa diutamakan dalam landskap perdagangan global yang kian kompleks
“Dasar perdagangan mungkin berubah, namun Malaysia tidak boleh ‘tunggu dan lihat’. Kita perlu sentiasa bersedia, perkuatkan ekonomi dalam negara, cari rakan dagang baharu dan pastikan syarikat tempatan cukup kompetitif di pentas global,” katanya.
Mohd Fairuz berkata, meskipun tarif 10 peratus masih dikenakan, ia lebih rendah berbanding tarif yang dikenakan ke atas China.
“Ini mungkin memberikan kelebihan kompetitif kepada eksport Malaysia berbanding eksport China ke AS,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




