[VIDEO] “Mungkin Bapa Saya Masih Ada Jika Tak Jalani Pembedahan” – Keith Foo Luah Rasa Terkilan

[VIDEO] “Mungkin Bapa Saya Masih Ada Jika Tak Jalani Pembedahan” – Keith Foo Luah Rasa Terkilan

“Kalau ayah saya tak jalani pembedahan itu, mungkin dia masih ada bersama kami…”

Demikian luahan pilu pelakon, Keith Foo yang tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan selepas memberi keizinan kepada mendiang bapanya, Foo Kia Suan, 78, untuk menjalani pembedahan akibat kecederaan patah tulang pinggul selepas terjatuh di kediaman mereka.

Menurut Keith atau nama sebenarnya Foo Chuan Chin, 42, bapanya mula mengalami jangkitan kuman pada paru-paru selepas menjalani pembedahan dan dirawat terlalu lama di hospital, sehingga terpaksa bergantung kepada bantuan pernafasan sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 21 Mac lalu.

“Ayah terjatuh di rumah sampai tak boleh bergerak, rupa-rupanya tulang pinggulnya patah dan retak. Selepas seminggu, kami sekeluarga putuskan untuk dia jalani pembedahan.

“Tapi selepas pembedahan selesai, ayah dijangkiti kuman di paru-paru sebab terlalu lama dirawat di hospital. Dia mula bergantung kepada mesin pernafasan, dan tak lama kemudian, tahap oksigen semakin merosot.

“Saya rasa amat menyesal dan serba salah. Kalau saya tak bersetuju dengan pembedahan itu, mungkin ayah masih hidup. Tapi saya reda… mungkin itu sudah ketentuan Ilahi. Kalau bukan sekarang, mungkin pada masa lain,” katanya sebak.

Keith berkongsi kisah duka itu ketika ditemui di Balai Berita Bangsar, pada Khamis.

Dalam pada itu, Keith mengakui kehidupannya terasa sepi sejak pemergian bapa tercinta.

Malah, kini dia kerap pulang ke kampung di Gemas, Negeri Sembilan kerana tidak sampai hati membiarkan ibunya tinggal seorang diri.

“Saya rasa sunyi… dan kasihan sangat pada ibu kerana dia tinggal seorang diri di kampung. Sekarang saya lebih kerap balik untuk tengok keadaannya. Dulu pun balik juga, tapi kali ini lebih kerap daripada biasa,” ujarnya.

Scroll to Top