mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kajang: Pemain gitar kumpulan popular era 1960-an, The Wanderers iaitu Talhah Idris, 75, dirawat di Hospital Kajang, di sini sejak dua minggu lalu akibat serangan angin ahmar atau strok.
Anak keempatnya, Izwan, 47, berkata, selepas era kegemilangan muzik 60-an berakhir, ayahnya tetap aktif bermain muzik atas jemputan beberapa pihak termasuk bersama kumpulan itu sendiri.
Bagaimanapun karier muziknya terhenti selepas diserang angin ahmar buat kali pertama tahun lalu.
“Semasa usianya lebih 60 tahun pun, ayah masih lagi aktif dalam muzik. Tapi selepas dia ‘collapse’ (rebah) kali pertama setahun yang sudah, dia terus berhenti main muzik.
“Ayah ada darah tinggi dan bacaannya ketika itu 230 menyebabkan dia tumbang dan dimasukkan ke Hospital Kajang. Kejadian berlaku ketika dia berada di rumah di Beranang.
“Selepas beberapa hari, ayah dibenarkan keluar hospital. Keadaannya waktu itu masih okey, cuma dia nak bergerak agak perlahan sebab dia kena strok bahagian kanan badan,” katanya.
Izwan berkata demikian semasa menerima lawatan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) Datuk Freddie Fernandez yang menziarahi Talhah dan turut menyerahkan sumbangan.
Menurut Izwan, ayahnya ketika itu masih boleh bergerak walaupun sukar. Bagaimanapun serangan strok kali kedua baru-baru ini membuatkan beliau terus terlantar.
“Jadi sekarang ayah nak bergerak pun dah susah. Selepas itu kita dah start pakaikan dia lampin pakai buang. Dia dah tak boleh urus diri sendiri dan kami kena uruskan segalanya.
“Ayah juga didapati ada bengkak di bahagian usus kanan dan dah menjalani proses ultrasound dan kami sedang tunggu keputusan selanjutnya nanti.
“Apa sahaja keputusan dari pihak doktor, kami memang dah sebulat suara bersedia terima. Kami berharap sebenarnya benda ini tidak lebih teruk. Kalau dah teruk itu, kita reda Itu sahaja,” katanya.
Selain Talhah, The Wanderers turut dibarisi oleh J Sham sebagai penyanyi.
Izwan berkata, rakan-rakan penggiat seni boleh melawat ayahnya di Wad 7 Katil 10, Hospital Kajang pada waktu melawat.
Talhah mempunyai 11 anak menerusi tiga perkahwinan dan kini kekal bersama isteri ketiga.
Mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun isterinya, Faridah Bujal 155108850171 Maybank.
© New Straits Times Press (M) Bhd

