Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) memperkukuh proses mencungkil bakat atlet para di peringkat negeri menerusi pembekalan peralatan latihan kepada Majlis Sukan Negeri terpilih untuk kegunaan di pusat latihan masing-masing.
MSN dalam kenyataan hari ini memaklumkan setakat akhir bulan lepas, pihaknya telah membekalkan peralatan sukan powerlifting, iaitu 13 set bench press custom (full set) kepada 13 negeri dengan nilai peruntukan keseluruhan RM520,000.
Dalam usaha menggalakkan pembabitan sukan boccia, MSN membekalkan set bola kepada 11 negeri dengan nilai peruntukan sebanyak RM30,000 manakala pemberian set bola tambahan akan diserahkan kepada baki negeri-negeri mempunyai ramai atlet yang berminat dengan sukan tersebut.
Selain itu, MSN juga menyediakan sokongan peruntukan kewangan bagi membantu MSN Negeri melantik jurulatih-jurulatih dan pegawai penggerak sukan para yang akan melaksanakan tanggungjawab secara lebih sistematik dan tersusun.
“Pemerkasaan aspek peralatan, sistem pencarian bakat lebih meluas dan pembabitan jurulatih serta penggerak lebih konsisten itu berupaya membentuk jalinan berterusan demi memastikan kesinambungan penghasilan atlet para negara,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin dalam kenyataan sama berkata inisiatif tersebut demi memastikan negara dapat membina ekosistem latihan yang sempurna, hasil kerjasama rapat dengan MSN Negeri, supaya bakat atlet para dapat dikenal pasti dan digilap dari peringkat awal sehingga ke tahap prestasi tinggi.
“Ia termasuklah usaha sama memperluas pencarian bakat atlet para supaya mereka dapat dikenal pasti lebih awal dan diberi peluang menjalani latihan secara konsisten di negeri masing-masing sebelum ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

