am@hmetro.com.my
PELAKON yang dikenali dalam drama adaptasi novel, Mr Grey, Fendy Bakry, 37, mengakui dia kini lebih memilih dengan naskhah ditawarkan kerana tidak mahu terikat dengan watak romantik seperti pembabitan awal dalam bidang lakonan.
Fendy atau nama sebenarnya, Mohd Affandi Nor Bakri berkata, dia juga memilih untuk melakonkan watak mencabar yang beri impak selepas sedekad berkecimpung dalam lakonan.
“Saya juga banyak melakonkan watak antagonis ketika ini sebagai langkah untuk lari dari watak romantik.
“Saya percaya selera penonton sekarang sudah berubah dan mahukan karya yang lebih menonjol serta lebih dekat dalam kehidupan seharian.
“Contohnya, saya ada menonton beberapa drama yang bukan genre romantik seperti Bidaah yang dapat rating tinggi dan percaya peminat sekarang dahagakan cerita berbeza,” katanya.
Bagaimanapun, Fendy berkata, dia tidak menafikan nama dan popularitinya juga bermula dengan drama Mr Grey yang bersiaran di kaca TV pada 2017.
“Kalau dulu, bila berjumpa, orang tak sebut atau tak kenal nama Fendy, tetapi lebih mengenali saya sebagai Mr Grey.
“Jadi, saya nak lari daripada watak seperti itu. Kalau boleh, saya nak elakkan berlakon dalam drama romantik sebab mungkin ada yang cakap saya hanya lakonkan watak romantik,” katanya.
Mengenai watak lagi, kata Fendy, dia juga tidak kisah melakonkan watak pembantu dalam drama.
“Saya perlu membahagikan masa antara lakonan dan perniagaan. Kini saya juga banyak fokus kepada perniagaan. Saya tidak mahu kesibukan saya dengan perniagaan akan menyusahkan produksi nanti.
“Contohnya, dalam cereka khas, Srikandi arahan Wan Mohd Afzam Wan Daud ini, saya diberi kepercayaan lakonkan watak pembantu yang mempunyai kekuatan tersendiri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




