Hishammuddin, Khairy antara 6,252 sertai kembali UMNO

Hishammuddin, Khairy antara 6,252 sertai kembali UMNO

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 6,252 bekas pimpinan serta ahli UMNO termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Syed Hamid Albar diterima kembali menyertai parti itu di bawah inisiatif Rumah Bangsa.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hari ini.

“MKT menyokong dan mendukung penuh gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan oleh Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor.

“Antara nama-nama pemohon yang diputuskan oleh MKT termasuk Datuk Seri Hishammuddin, Khairy, Tan Sri Syed Hamid dan 6,252 bekas pimpinan serta ahli di peringkat UMNO Bahagian dan Cawangan seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Asyraf berkata, MKT turut membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara atas talian bagi memudahkan kemasukan ahli baharu terutama di kalangan anak muda, selaras Fasal 5.2 Perlembagaan UMNO.

Dalam pada itu, beliau berkata, MKT menyarankan negeri yang diterajui oleh pimpinan UMNO khususnya Johor, Melaka, Perak dan Pahang supaya memfokuskan bantuan tambahan kepada masyarakat terkesan susulan cabaran kos sara hidup akibat kenaikan minyak serta inflasi global kesan daripada peperangan.

Katanya, sayap Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri dibenar mengadakan persidangan peringkat cawangan secara hibrid atau gabungan antara kehadiran secara fizikal dan secara atas talian khususnya dalam tahun yang tiada pemilihan parti selaras Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO.

Beliau turut memaklumkan beberapa program utama akan dilangsungkan termasuk Konvensyen 80 Tahun UMNO, Kongres Pendidikan Bumiputera, Karnival Keusahawanan Pendidikan serta Majlis Khas Ramah Mesra Pemuda dan Puteri UMNO bersama ahli baharu sempena minggu Sambutan 80 Tahun UMNO yang akan berlangsung dari 1 hingga 5 Mei di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top