Perlis pertimbang tingkat fasiliti sukan bangunkan atlet jelang Sukma Selangor 2026

Perlis pertimbang tingkat fasiliti sukan bangunkan atlet jelang Sukma Selangor 2026

sukan@hmetro.com.my

Kangar: Kemudahan dan fasiliti sukan di Perlis sedang dinilai untuk dipertingkatkan dalam membangunkan atlet negeri itu menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor.

Ini susulan kejayaan negeri berkenaan dalam melepasi sasaran 10 pingat emas yang ditetapkan oleh kerajaan negeri itu pada Sukma tahun lalu di Sarawak meskipun terdapat beberapa fasiliti sukan yang dilihat masih belum mencapai tahap antarabangsa seperti yang diharapkan oleh atlet di negeri itu.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kejayaan negeri itu yang meraih 12 pingat emas serta memecahkan rekod kebangsaan dalam temasya itu memberikan suatu peringatan kepada kerajaan negeri dalam menaik taraf kemudahan dan fasiliti sukan untuk atlet negeri itu berlatih.

“InsyaAllah setakat sekarang ini kita sedang memerhati dan melihat fasiliti sukan yang ada untuk ditingkatkan lagi kemudahan atlet.

“Kita rasa kita mempunyai atlet yang hebat dan jika kita mempunyai fasiliti yang hebat, kita akan dapat meningkatkan prestasi yang terbaik di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis Tahun 2024 dan Pelancaran Logo Rasmi Baharu Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis di Dewan Warisan, di sini semalam.

Majlis dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut dihadiri Exco Belia dan Sukan negeri, Mohd Ridzuan Hashim dan atlet negeri itu dari pelbagai cabang sukan.

Katanya, susulan pencapaian gemilang atlet negeri itu pada temasya Sukma yang lalu, pihaknya sudah pun meletakkan sasaran 20 pingat emas pada temasya Sukma Selangor pada tahun hadapan.

“Untuk Sukma di Selangor tahun hadapan, kita akan teliti dahulu prestasi atlet kita yang sedia ada ini dan kita akan buat ‘target’ pada masa itu.

“Namun, saya berharap atlet ini akan terus berusaha untuk mencapai (pungutan pingat emas) melebihi daripada apa yang dicapai pada tahun lalu di Sukma Sarawak.

“Selain itu juga, kita akan melihat juga jenis sukan yang ditetapkan oleh penganjur Sukma di Selangor tahun hadapan agar sasaran yang ditetapkan itu tidak tersasar daripada apa yang diharapkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top