Anwar tiba di Tokyo untuk perkukuh hubungan Malaysia-Jepun, hadiri Forum Nikkei

Anwar tiba di Tokyo untuk perkukuh hubungan Malaysia-Jepun, hadiri Forum Nikkei

TOKYO – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Tokyo malam ini bagi mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Jepun bermula hari ini hingga 10 Jun, yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta menyertai Forum Nikkei ke-31.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada jam 8.20 malam waktu tempatan (jam 7.20 malam waktu Malaysia).

Ketibaan Anwar disambut oleh Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany; Naib Menteri Parlimen Hal Ehwal Luar Negeri Jepun, Tomoaki Shimada; Ketua Protokol, Tadayuki Miyashita dan Duta Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.

Kunjungan itu adalah lawatan rasmi pertama Anwar ke Jepun sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022, walaupun sebelum ini telah mengadakan dua lawatan kerja pada 2023 dan 2024.

Jadual padat Perdana Menteri bermula pada Selasa, dengan beliau dijadual menyampaikan syarahan khas bertajuk “Humanity in a Human-Machine Civilisation” di University of Tokyo.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan turut menyertai Sesi Meja Bulat bersama 29 tokoh perniagaan terpilih dari Jepun, selain mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat Jepun, termasuk pertemuan dengan pihak daripada enam syarikat.

Pada Rabu, Perdana Menteri akan menghadiri Forum Nikkei ke-31 bertemakan “Working Together for a More Resilient and Prosperous Asia”, dan dijadualkan menyampaikan ucaptama bertajuk “Navigating Strategic Uncertainty”.

Kemudian pada hari yang sama, Anwar akan diberikan majlis sambutan rasmi di Pejabat Perdana Menteri Jepun, disusuli mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan Sanae Takaichi.

Lawatan itu dijangka menyaksikan pemeteraian empat Memorandum Kerjasama dan dua Surat Hasrat yang melibatkan bidang pertahanan dan keselamatan serantau, kesihatan, peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar serta pendidikan, serta Kenyataan Bersama di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif.

Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, serta pegawai kanan kerajaan.

Perdana Menteri dan delegasi dijadual berlepas pulang pada petang Rabu. – Bernama

Scroll to Top