am@hmetro.com.my
Bukit Mertajam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam terus menunjukkan contoh dan teladan yang baik tanpa melakukan penghinaan terhadap kaum lain.
Anwar berkata, sikap terpuji itu sekali gus akan membuatkan Islam dipandang mulia dan dihormati oleh semua pihak.
Katanya, salah satu tempat yang boleh dijadikan contoh adalah institusi masjid yang dibina dengan penuh ketakwaan kepada Allah serta nilai-nilai murni yang membawa kepada kesejahteraan masyarakat.
“Islam ini hebat kerana contoh kita, Islam hebat bukan kerana kita maki orang dan Islam hebat bukan kerana kita hina kaum lain.
“Tetapi, Islam itu hebat kerana dia (orang) tengok contoh kita itu baik, masjid kita paling bersih, masjid kita paling indah, kariah kita paling baik peribadinya, anak-anak kita itu cukup terlatih dan cukup disiplin.
“Oleh kerana itu yang akan menyebabkan orang hormat kita dan bukan kerana angkuh, bukan kerana bengis kita atau bukan kerana kita memilih untuk menghina yang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembinaan Semula Masjid Cherok Tok Kun Bawah di sini, hari ini.
Pembinaan semula masjid berusia 30 tahun di kampung halaman Perdana Menteri itu dijangka siap pada Februari 2027 dengan kos RM15 juta.
Hadir sama, Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid.
Mengulas lanjut, Anwar turut mahu semua pihak supaya terus memainkan peranan dalam menjaga institusi masjid dan zakat supaya bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
“Ia adalah dengan memainkan peranan dalam memastikan semua nilai- nilai baik diterapkan dalam pentadbiran negara, (dan) tidak terlibat dengan kesalahan rasuah,” katanya.
Tegasnya, kepercayaan rakyat yang memberi mandat untuk memimpin harus dibalas dengan amanah, kejujuran dan kesederhanaan bukan dengan menindas atau menyeleweng harta.
© New Straits Times Press (M) Bhd