DBKL kompaun 5 kontraktor korek jalan

DBKL kompaun 5 kontraktor korek jalan

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan lima kompaun terhadap lima syarikat kontraktor yang menjalankan kerja mengorek jalan di ibu kota ini kerana pelbagai kesalahan, termasuk tidak mematuhi prosedur kerja.

DBKL menerusi kenyataan di Facebook berkata, tindakan itu dibuat bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menerusi Ops Korekan Jalan di sekitar Parlimen Segambut, Bukit Bintang dan Kepong pada 25 April lalu.

Menerusi operasi itu, DBKL menjalankan pemeriksaan terhadap kontraktor yang menjalankan kerja mengorek jalan secara tidak mematuhi prosedur kerja yang betul dan pelbagai kesalahan lain.

“Sebanyak lima syarikat kontraktor yang sedang menjalankan kerja penambahbaikan di lima lokasi berbeza telah disemak kelulusan permit, prosedur kerja dan lain-lain lagi, bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam terjaga.

“Hasil semakan, DBKL mengeluarkan lima notis tawaran kompaun mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Undang-Undang Kecil (UUK) Pengangkutan Bahan 1997 atas pelbagai kesalahan,” kata DBKL.

DBKL berkata, CIDB turut mengeluarkan satu notis tawaran kompaun atas kesalahan kegagalan pihak kontraktor untuk mendapatkan kelulusan CIDB bagi menjalankan kerja penambahbaikan.

“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari masa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti,” katanya.

Untuk sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di https://adukl.dbkl.gov.my/.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top