Berharganya hidup dalam negara aman

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Daripada seorang backpacker yang langsung tidak tahu menunggang motosikal, pengembara solo, Anita Yusof, 58, berjaya melengkapkan misi Global Dream Ride 2 pada 2025 dengan menjelajah 81 negara di semua tujuh benua, sekali gus membawa nama Malaysia ke pelbagai pelosok dunia.

Anak kelahiran Johor itu berkata, semuanya bermula pada 2012 ketika dia berusia 45 tahun dan mencari hobi baharu selepas berdepan masalah dalam kehidupan, sebelum tertarik dengan catatan seorang pengembara basikal Malaysia mengenai Kyrgyzstan.

“Saya sebenarnya berasal daripada seorang backpacker. Saya memang sudah banyak juga mengembara dan buat pengembaraan solo ke serata dunia.

“Pada 2012, sesuatu berlaku dalam hidup saya. Jadi, saya cakap pada diri sendiri, saya mesti kena cari satu hobi yang baru, passion yang baru,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian mendapatkan maklumat mengenai perjalanan ke Kyrgyzstan daripada pengembara berkenaan, namun dimaklumkan beberapa lokasi terpencil di negara itu tidak mempunyai pengangkutan awam yang meluas.

Keadaan itu membuatkan Anita mula mempertimbangkan motosikal sebagai pilihan untuk membolehkannya sampai ke lokasi berkenaan walaupun pada ketika itu beliau langsung tidak tahu menunggang.

Anita kemudian mula belajar menunggang motosikal dan menguji kemahirannya dengan mengembara ke Thailand, Myanmar, Laos, Kemboja dan Vietnam sebelum merealisasikan hasrat ke Kyrgyzstan setahun kemudian.

“Selepas setahun belajar menunggang, saya akhirnya dapat merealisasikan hasrat ke Kyrgyzstan.

“Saya mengembara ke Uzbekistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Afghanistan,” katanya.

Anita berubah menjadi adventure rider dan pada 2015 melakukan pengembaraan dunia pertama selama setahun dengan mengambil cuti tanpa gaji, merentasi empat benua dan 40 negara sejauh lebih 65,000 kilometer (km).

Tidak puas dengan pengalaman itu, Anita meneruskan pengembaraan dunia buat kali kedua dari 2019 hingga 2025, dia menjelajah 81 negara menggunakan motosikal Yamaha FZ150i yang sama, termasuk Cape Town di Afrika Selatan, Ethiopia, Mexico, Alaska dan Antartika.

Keseluruhan pengembaraan itu menelan modal hampir RM400,000, namun Anita menyifatkannya amat berbaloi kerana berpeluang mendekati budaya dan adat resam masyarakat pelbagai negara.

Selain cabaran perjalanan, Anita berkata, pengalaman mengembara seorang diri turut mengubah pandangannya terhadap manusia apabila mendapati masih ramai individu baik yang sanggup membantu tanpa mengira perbezaan negara, bangsa dan agama.

Pengalaman itu membuatkan beliau semakin menghargai Malaysia selepas melihat sendiri konflik dan kesusahan yang berlaku di beberapa negara yang dilawatinya, khususnya nilai keamanan yang selama ini mungkin dianggap biasa.

“Saya paling nak rakyat Malaysia hargai adalah keamanan. Bila kita tengok konflik serta kesusahan di negara lain, kita sedar betapa berharganya hidup dalam negara yang aman,” katanya.

Anita turut menyeru rakyat Malaysia supaya menghargai kepelbagaian agama, bangsa dan budaya yang menjadi antara nikmat kehidupan di negara ini.

Baginya, pengalaman berada di jalanan turut mengubah pengertian kemerdekaan kerana kebebasan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi berani menentukan jalan hidup sendiri dan bertanggungjawab terhadap setiap pilihan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top