am@metro.com.my
Kuala Lumpur: Mangsa banjir digesa supaya tidak terburu-buru dan sentiasa berwaspada dengan kehadiran sindiket ‘ulat tunda’ yang sering mengambil kesempatan bagi mengaut keuntungan sewaktu situasi kecemasan.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, sindiket itu menggunakan taktik muncul awal di lokasi banjir dipercayai untuk mendesak pemilik kenderaan yang terjejas menandatangani dokumen persetujuan penundaan.
Beliau berkata, taktik itu akhirnya mengikat mangsa dengan caj perkhidmatan yang melampau atau pemindahan kenderaan ke bengkel tidak berdaftar.
“Sehubungan itu, PIAM menasihatkan pemilik kenderaan yang terjejas supaya tidak menandatangani sebarang dokumen di lokasi kejadian tanpa membuat pengesahan rasmi.
“Tindakan terburu-buru ini mendedahkan pemilik kenderaan kepada risiko ditipu serta dikenakan caj penundaan atau kos baik pulih yang tidak munasabah,” katanya pada Sesi Meja Bulat Media PIAM bertemakan Risiko Monsun, Perlindungan dan Pemulihan: Menghadapi Ribut Bersama-sama di Wisma PIAM di sini, hari ini.
Chua berkata, sekiranya kenderaan terjejas akibat banjir, langkah keselamatan terbaik adalah membuat permohonan tunda secara terus menerusi aplikasi digital rasmi syarikat insurans masing-masing.
“Aplikasi rasmi ini dilengkapi sistem penjejakan geolokasi bagi memastikan perkhidmatan penundaan adalah sah, telus dan selamat,” katanya.
Beliau berkata, walaupun anggota sindiket kelihatan sangat mesra dan berjanji akan ‘kaw tim’ namun orang diminta tidak terperangkap.
“Sentiasa gunakan saluran yang betul. Sebab itulah kami mempromosikan perkara ini.
“Elakkan diri daripada ditipu dan muat turunlah aplikasi bantuan yang berdaftar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




