puterialia@hmetro.com.my
Hampir separuh abad berada dalam persada seni tanah air, pelakon berkaliber, Faizal Hussein mendedahkan kunci utama kelangsungannya bertahan bukan hanya terletak pada disiplin kerja semata-mata, sebaliknya hubungan baik dengan semua pihak di belakang tabir.
Menurut Faizal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Hussein, 58, dia sentiasa memastikan dirinya bersikap profesional dan tidak pernah mempunyai masalah peribadi dengan mana-mana kru produksi.
“Selain daripada disiplin, saya rasa perhubungan kita dengan tenaga kerja kena bagus. Kita tidak boleh ada masalah dengan orang, daripada jawatan paling rendah sehingga paling tinggi.
“Saya ketika waktu bekerja memang takkan ada masalah dengan mereka,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Faizal turut berkongsi pengalaman bekerja bersama kru yang membancuh air atau pembantu pada hari ini, mungkin berpotensi besar memegang jawatan penting dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Menurutnya, sikap saling menghormati dan tiada perselisihan faham bersama kru produksi menjadi pelaburan jangka panjang amat bernilai apabila jawatan mereka meningkat menjadi penerbit.
“Nanti lima hingga 10 tahun akan datang mereka mungkin sudah jadi penerbit dan penerbit eksekutif. Jadi dalam bab hubungan, saya hormat dia, dia hormat saya, tiada gaduh-gaduh dan tiada marah-marah.
“Bila mereka sudah ada jawatan tinggi, mereka akan panggil saya kerja. Sebab itu hubungan di belakang kamera penting.
“Jadi macam kita hormat dia walaupun dia hanya pegang jawatan yang rendah (dalam produksi), sampai mereka sudah ada jawatan, dia akan ingat kita,” katanya lagi.
Meskipun industri seni sering digemparkan dengan keluhan segelintir pelakon yang berdepan masalah kesukaran mendapat tawaran kerja, Faizal tampil meluahkan rasa syukur kerana rezeki terus berpihak kepadanya.
Katanya, hasil usaha, perjuangan serta cara kerjanya bersama semua pihak yang terbabit selama ini membolehkannya terus kekal relevan dan menerima pelbagai tawaran berterusan.
“Saya memang bersyukur. Apa yang saya buat selama ini, perjuangan saya, cara saya dengan semua yang terlibat dengan saya dalam kerjaya saya ini, saya bersyukur yang saya masih boleh dapat apa yang saya dapat hari ini,” katanya.
Bagi bapa kepada dua anak ini, setiap rezeki amat bermakna demi menyara masa depan anak-anaknya, selain menganggap ia sebagai petanda bahawa jalan dan usaha yang dibawanya selama ini mendapat restu Ilahi.
“Bagi saya semua orang perlukan duit. Jadi, itu rezeki untuk anak-anak sayalah. Kadang-kadang kita usaha macam mana pun, gaji tiada, kerja pun tiada.
“Tetapi saya bersyukur boleh lagi bekerja. Kalau selepas ini, saya tidak mahu kerja setahun pun boleh. Gaji saya untuk satu projek sahaja, saya boleh hidup macam setahun lebih.
“Maknanya walau apa kerja pun, kita semua kena bekerja ke arah itu. Berapa lama kita boleh bertahan,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon filem Gila-Gila Remaja ini berkata, dia mempunyai cara tersendiri dalam meneliti setiap tawaran lakonan yang diterima tanpa perlu merendahkan maruah diri.
“Sebenarnya, saya sudah tahu siapa, syarikat mana yang tawarkan berlakon. Sebab saya tidak mahu rasa diri macam ikan dekat pasar, bila mereka mula tawar-menawar harga untuk sesebuah watak,” ujarnya.
Pegang watak berat dalam drama Sumpah Ayahku
Biarpun watak Hashim sarat dengan pelbagai ujian hidup yang berat, Faizal mempunyai alasan tersendiri untuk melunaskan tanggungjawab membintangi drama terbitan TV3 kali ini.
Menurut Faizal, tawaran berkenaan diterima bukan sahaja kerana ia adalah projek keempat selepas tiga tawaran terdahulu terpaksa ditolak akibat kekangan jadual padat, sebaliknya ia dizahirkan khas buat peminat setianya.
Mengulas mengenai naskhah terbaharu itu, Faizal berkata, karakter yang dilakonkan berdepan rantaian nasib malang dan cabaran emosi yang sangat menguji ketahanan jiwa bermula dari awal perjalanan cerita.
Di sebalik tekanan dan jangkaan besar peminat terhadap kredibilitinya untuk menghidupkan karakter Hashim, Faizal melihat sisi sukar itu dari sudut positif sebagai satu pembakar semangat.
Faktor usia yang semakin meningkat tidak pernah menjadi halangan mahupun kebimbangan buat Faizal dalam membawakan pelbagai watak mencabar di kaca televisyen.
Sebaliknya, Faizal mendedahkan dia langsung tidak memikirkan soal usia, sebaliknya lebih menumpukan perhatian kepada ruang penerokaan serta bentuk cabaran yang mampu ditawarkan dalam sesuatu karakter.
“Saya tidak fikir tentang usia sangat. Saya fikir apa yang saya boleh buat. Maksudnya apa yang watak ini boleh bagi saya ‘explore’. Jadi benda yang saya selalu akan terima adalah benda yang susah.
“Bagi saya terlalu banyak sangat cerita yang saya bawa watak senang. Tetapi, perjalanan watak saya dalam 28 episod ini agak mencabar. Ia buatkan saya teruja untuk membawa watak Hashim. Perkara-perkara seperti itu yang saya utamakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

