Pencuci kereta dipenjara 7 bulan kerana ugut sebar video bogel

Pencuci kereta dipenjara 7 bulan kerana ugut sebar video bogel

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan terhadap pencuci kereta selepas dia didapati bersalah memeras ugut seorang wanita dengan mengugut untuk menyebarkan video bogelnya.

Tertuduh, Muhammad Haiqdil Abdul Rani, 30, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa sengaja menimbulkan ketakutan dalam diri mangsa yang berusia 30 tahun dengan mengugut untuk mengedarkan video bogel, menyebabkan mangsa memindahkan wang RM2,510 kepadanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Titi Haji Idris, Tajar, Kota Setar, jam 10.30 malam, 7 April lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, denda, sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman ini jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Jayasri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Jayasri meminta mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan dengan menekankan bahawa mangsa diperas ugut berulang kali menyebabkan kesejahteraan mentalnya terjejas.

Bagaimanapun tertuduh merayu supaya hukumannya diringankan kerana hanya bekerja sebagai pencuci kereta dengan pendapatan RM30 sehari dan perlu menyara ibunya serta enam adik-beradik lain.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan mulai tarikh dia ditahan dan mengarahkan telefon bimbitnya dilupuskan.

Tertuduh dibawa ke Penjara Pokok Sena untuk menjalani hukuman berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top