suliati@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Raya kali ini lebih bermakna buat pelanggan McDonald’s Malaysia apabila buat julung kalinya jenama restoran khidmat segera terkemuka itu menganjurkan Rumah Terbuka Raya Mekdi di seluruh negara.
Bermula di cawangan Pantai Sentral Park pada 11 April lalu, kemeriahan rumah terbuka menjelajah ke empat lokasi lain iaitu Bandar Sri Damansara (12 April), Indera Mahkota, Pahang (18 April), Bandar Baru Uda, Johor (19 April) dan Tabuan Jaya, Sarawak (26 April).
Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata menyantuni komuniti adalah salah satu nilai teras di McDonald’s Malaysia.
Oleh itu, katanya, Rumah Terbuka Raya Mekdi ini bukan sekadar menyambut dan meraikan Aidilfitri bersama komuniti dan pelanggan tetapi juga sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan mereka selama ini.
“Menerusi inisiatif ini, kami berharap dapat mengeratkan lagi hubungan dengan komuniti tempatan dan mencipta kenangan manis bersama mereka terutama pada musim perayaan ini.
“Paling penting, ini adalah cara terbaik dan mengujakan kepada kami untuk memberi kembali kepada komuniti dan pelanggan yang sentiasa memberi sokongan kepada kami selama ini,” katanya.
Menambahkan lagi keceriaan Rumah Terbuka Raya Mekdi ini, tetamu dihidangkan dengan 1,500 set McDonald’s Foldover Ayam secara percuma di setiap lokasi sebagai tanda penghargaan daripada McDonald’s Malaysia kepada komuniti setempat.
Bukan itu saja, tetamu juga berpeluang membawa pulang hadiah percuma seperti baucar dengan mengambil bahagian dalam aktiviti yang disediakan.
“Setiap lokasi rumah terbuka turut disulami suasana meriah, yang mana pengunjung dapat menikmati kemeriahan Aidilfitri melalui persembahan tradisional, permainan rakyat yang mengimbau nostalgia serta persembahan dan penampilan istimewa dari barisan artis popular.
“Kami juga bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) menyantuni anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Darul Sakinah dengan juadah istimewa dan permainan yang menyeronokkan,” katanya.
Di McDonald’s Malaysia, memberi kembali kepada masyarakat adalah salah satu usaha berterusan.
Malah, setiap tahun lebih daripada 10,000 inisiatif kemasyarakatan dilaksanakan sekali gus menjadi inspirasi dalam penganjuran Rumah Terbik Raya Mekdi ini.
Ramadan lalu misalnya, McDonald’s Malaysia menganjurkan program Kongsi Rezeki Ramadan.
Melati berkata menerusi program itu, pihaknya menyediakan juadah untuk buka puasa iaitu bubur lambuk dan moreh serta menyumbangkan Kotak Rezeki kepada golongan yang memerlukan.
“Menerusi inisiatif ini, McDonald’s Malaysia berjaya menjangkau pelbagai komuniti termasuk masjid, surau, universiti dan pusat komuniti di seluruh negara.
“Kini, di bulan Syawal ini, kami ingin terus menyemarakkan Aidilfitri bersama pelanggan dan masyarakat yang selama ini menyokong kami,” katanya.
Melati berkata pihaknya juga mahu semua yang hadir merasai kegembiraan perayaan dan pada masa sama mengukuhkan lagi hubungan antara McDonald’s Malaysia dan komuniti setempat.
“Inilah yang membezakan kami. Kami bukan sekadar restoran. Kami adalah sebahagian daripada masyarakat Malaysia,” katanya.
Selain itu, McDonald’s Malaysia turut melaksanakan pelbagai inisiatif lain sempena Aidilfitri ini.
Ini termasuk pemberian kopi percuma di Pandu-Lalu serta hidangan percuma pada hari Raya pertama dan kedua di semua cawangan McDonald’s di seluruh negara.
“Kami juga menawarkan pelbagai promosi dan diskaun menarik di dalam aplikasi McD untuk dinikmati oleh pelanggan.
“Sempena musim perayaan ini juga, sebanyak 26 restoran McDonald’s terpilih di seluruh negara dihias dengan suasana meriah Aidilfitri.
“Oleh itu, kami ingin menjemput semua rakyat Malaysia untuk turut serta dalam sambutan Rumah Terbuka Raya Mekdi di lokasi-lokasi akan datang,” katanya.
Pengunjung, Wirawati Hamani, 43, tidak menyangka dapat merasai suasana rumah terbuka sebenar walaupun ia diadakan di restoran makanan segera.
“Saya berharap McDonald’s Malaysia akan terus menganjurkan majlis seperti ini tahun depan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




