Kansas City: Sebelum Switzerland berdepan ujian getir menentang Lionel Messi dan Argentina pada aksi suku akhir Piala Dunia 2026, jurulatih Murat Yakin terlebih dahulu mencuri perhatian di media sosial kerana penampilannya yang disifatkan seperti watak dalam filem arahan Quentin Tarantino.
Pengendali berusia 51 tahun itu menjadi tular selepas beberapa gambar ketika sidang media dan sesi latihan dikongsi meluas di media sosial, dengan ramai peminat menyamakan gaya rambut, misai serta penampilannya dengan watak ikonik dalam filem-filem Tarantino.
Malah, ada pengguna media sosial berseloroh bahawa Switzerland kini bukan sahaja terkenal dengan jam tangan dan perbankan, malah turut memiliki seorang jurulatih yang tampil penuh bergaya di pentas Piala Dunia.
Populariti Yakin meningkat seiring kejayaan Switzerland melakar sejarah mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 72 tahun.
Skuad kendaliannya mengejutkan ramai apabila menyingkirkan Colombia menerusi penentuan penalti pada pusingan 16 terbaik, sekali gus mengatur pertemuan dengan juara bertahan, Argentina.
Bagaimanapun, Yakin enggan melayan perhatian di luar padang dan menegaskan tumpuan sepenuhnya kini adalah mencari formula untuk menyekat pengaruh Messi.
Beliau sebelum ini berkata, cara terbaik mengurangkan ancaman kapten Argentina itu ialah memastikan Switzerland menguasai bola dan tidak memberi ruang kepada lawan mengawal rentak permainan.
Switzerland turut menerima tamparan apabila penjaring utama, Johan Manzambi disahkan terlepas aksi itu akibat kecederaan lutut.
Walaupun berdepan tugas sukar menentang juara bertahan, Yakin percaya anak buahnya mempunyai keyakinan tinggi selepas mengharungi kempen cemerlang sepanjang kejohanan.
Jika berjaya menyingkirkan Argentina, Switzerland akan mara ke separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




