Kuala Lumpur: Bella Astillah mengakui komitmen kerja menjadi cabaran perlu dilalui sepanjang tempoh pertunangan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bella bagaimanapun bersyukur segala-galanya baik, apatah lagi berbaki kira-kira dua minggu sebelum mereka melangkah ke alam perkahwinan.
“Cabaran bertunang? Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja. Saya hanya fokus pada kerja sahaja,” katanya ditemui pada majlis pelancaran pembukaan Milolo dan edisi khas blind box Bella Astillah di Ombak KLCC di sini, hari ini.
Ditanya bila akan bercuti berikutan majlis pernikahan tidak lama lagi, Bella berkata, dia masih perlu melunaskan jadual kerja yang sudah ditetapkan.
“Jadual ini sudah ditetapkan, jadi saya perlu lunaskan. Sekarang pun saya perlu bergegas untuk ‘fitting’ baju pula,” katanya.
Bella berkata, dia mahu menikmati setiap proses yang dilalui menjelang perkahwinan dan mungkin hanya akan mengambil masa untuk bercuti selepas majlis itu.
“Insya-Allah, mungkin selepas itu. Saya mahu nikmati proses ini kerana selepas berkahwin pun, saya masih bekerja,” katanya.
Mengenai perancangan untuk bercuti, Bella berkata, perkara itu akan diatur tunangnya.
“Perancangannya semuanya di pihak Yang Berhormat (YB). Dia akan merancangnya nanti, insya-Allah,” katanya.
Syed Saddiq, 34, dan Bella, 32, akan bernikah di aras 118, Menara Merdeka Maybank di sini, pada 10 Oktober ini dengan konsep serba putih dan elemen Arab atau Islamik.
Pasangan itu juga dijangka berkongsi butiran majlis nikah dan resepsi perkahwinan pada sidang media khas di sini, esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




