am@hmetro.com.my
Georgetown: Seorang daripada dua suspek yang disyaki terbabit kejadian samun bersenjatakan kapak sehingga mencederakan pemilik kedai membaiki jam di Jalan Anson akan dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, esok.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad mengesahkan tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Seorang daripada suspek akan dituduh esok di Mahkamah Majistret di sini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan suspek yang berusia 43 tahun itu bersama rakannya berusia 42 tahun direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian 21 September lalu, mereka didakwa ke kedai berkenaan menaiki kereta sebelum seorang daripadanya memasuki premis dengan bersenjatakan kapak.
Suspek kemudian mengarahkan isteri mangsa menyerahkan wang, namun mangsa, 59, cuba menghalang tindakan berkenaan hingga mengakibatkan berlaku pergelutan dan tangan mangsa cedera.
Suspek kemudian melarikan diri menaiki kereta dipandu rakannya itu. Polis berjaya menahan kedua-duanya pada hari kejadian di kawasan perumahan di Straits Quay di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




