Tangisan bahagia Kak Sal dengar suara Jamaliah

Tangisan bahagia Kak Sal dengar suara Jamaliah

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kira-kira dua jam selepas kisahnya disiarkan, Salamah Samhon yang menghidap barah payudara menerima panggilan telefon yang paling dinantikan selepas lebih 30 tahun menunggu untuk bertemu semula rakan baiknya.

Ia juga menjadi hajat paling diharap menjadi kenyataan susulan keadaan kesihatan dirinya yang tidak begitu baik akibat serangan semula sel kanser sejak tahun ini.

Anak Salamah atau dikenali Kak Sal, Fazila Ahmad, 44, berkata, ibunya menangis sebaik mendengar suara Jamaliah Saleh yang sudah dianggap seperti adik beradik.

“Tidak dapat saya gambarkan betapa gembiranya mak apabila dapat bercakap semula dengan Puan Jamaliah selepas lebih 30 tahun terpisah, malah mak menangis sehingga saya turut sebak melihatnya.

“Saya nak ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Harian Metro kerana sudi membantu membuat liputan mengenai pencarian mak saya.

“Alhamdulillah, berkat perkongsian Harian Metro, akhirnya Puan Jamaliah sendiri menghubungi saya dan bercakap dengan mak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro malam ini.

Menurutnya, Jamaliah menghubungi mereka kira-kira 9.02 malam tadi dan sangat bersyukur usaha menjejaki wanita itu berakhir.

Katanya, orang lain mungkin menganggap kisah mereka hanya satu perkongsian biasa, tetapi bagi ibunya ia adalah pertemuan semula yang sangat bermakna dan hasrat yang terpendam lama kini termakbul.

“Insya-Allah kami akan bertemu dengan Puan Jamaliah yang kini tinggal di Kajang, Selangor pada Sabtu ini untuk mengeratkan kembali hubungan ini,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Salamah, 64, yang menghidap kanser payudara berhasrat bertemu rakan baiknya, Jamaliah ketika tinggal berjiran di Tingkat 11 Blok A, Flat Larkin, Johor Bahru pada 1992.

Fazila berkata, keadaan kesihatan ibunya tidak begitu baik kebelakangan ini menyebabkan dia berusaha memenuhi setiap permintaan wanita kesayangannya itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top