Perkara utama kerajaan Negeri Sembilan perlu berjalan seperti biasa – Jalaluddin

Perkara utama kerajaan Negeri Sembilan perlu berjalan seperti biasa – Jalaluddin

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan Negeri Sembilan mesti berjalan seperti biasa demi kepentingan rakyat, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Menurutnya, gesaan itu antara perkara yang dibangkitkan dalam mesyuarat yang dihadiri 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan di Ibu Pejabat UMNO, di sini malam tadi

“Memang ada perkara berkaitan dengan kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan dibincangkan dalam perbincangan tadi.

“Inti pati kepada perbincangan ialah kerajaan negeri mesti berjalan seperti biasa untuk kesejahteraan dan keutamaan bagi kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui.

Jalaluddin juga memaklumkan perbincangan itu membuka laluan kepada pendekatan lebih jelas bagi kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.

“Insya-Allah daripada perbincangan yang panjang lebar akan ada satu pendekatan untuk kerajaan (negeri) berjalan seperti biasa demi kepentingan rakyat.

“Itu yang penting dan yang pertama harus kita lakukan sekarang,” katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai kaedah boleh digunakan untuk memastikan kerajaan negeri berfungsi susulan krisis ketika ini.

“Ada pelbagai kaedah boleh kita gunakan. Menteri Besar mempunyai formula tertentu untuk menggerakkan jentera kerajaan negeri supaya agenda bagi memastikan program berkaitan kepentingan rakyat dapat diteruskan,” katanya.

Mengulas kehadiran pihak hadir mesyuarat itu, Jalaluddin yang juga ADUN Pertang berkata, mereka terdiri daripada barisan EXCO dan Backbenchers Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Saya dipanggil atas kapasiti Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri. Wakil daripada PAS dan Wawasan juga ada,” katanya.

Terdahulu, ADUN Negeri Sembilan tiba di Ibu Pejabat UMNO bagi menghadiri perbincangan berhubung kemelut yang berlaku di negeri itu.

Difahamkan mesyuarat diadakan bagi membincangkan krisis adat Negeri Sembilan membabitkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top