sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) belum memuktamadkan keputusan sama ada akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026 atau tidak.
Pengerusi SPFC, Raja Datuk Seri Shaharudin Shah Raja Jalil Shah, berkata setakat ini, tiada sebarang perbincangan lanjut berhubung status skuad Tok Gajah yang sebelum ini dikatakan tidak akan beraksi.
“Setakat ini, saya tidak boleh memuktamadkan status Sri Pahang bagi musim 2025/2026 kerana kita sedang mengkaji semula kedudukan pasukan selepas disebarkan bahawa skuad ini tidak akan beraksi musim depan.
“Kita akan mendapatkan pencerahan dan penjelasan daripada Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah sebagai pemilik kelab selepas saingan Liga M musim 2024/2025 berakhir.
“Selepas mengadakan perbincangan semasa sendiri dengan pihak pengurusan kelab dan penganjur, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), kita akan mengumumkannya.
“Buat masa ini, saya tidak boleh kata lebih daripada sepatutnya dan serahkan segalanya selepas perbincangan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Sri Pahang FC di sini, malam tadi.
Mengulas masalah tunggakan gaji yang dikatakan dihadapi skuad Tok Gajah, Raja Datuk Seri Shaharudin Shah berkata, segalanya sudah selesai selepas membuat pembayaran sepenuhnya kepada semua barisan kejurulatihan dan pemain.
Katanya, tiada lagi masalah tunggakan dan fokus utama pasukan adalah perlawanan terakhir menentang Penang FC dalam saingan Liga Super, Sabtu ini.
“Selepas itu, Sri Pahang akan membuat persiapan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 April depan.
“InshaAllah, Sri Pahang membuat persiapan yang terbaik buat penyokong skuad Tok Gajah untuk kedua-dua perlawanan itu dengan mempamerkan persembahan menyakinkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




