Selebriti popular, Noor Neelofa lantang menyuarakan pendiriannya menentang perbuatan memukul anak sebagai salah satu cara untuk mendidik, malah menyifatkan tindakan itu lahir daripada pemikiran yang sudah ketinggalan zaman.
Menerusi satu perkongsian di Instagram Story (IGs) miliknya, Neelofa atau nama sebenar Noor Neelofa Mohd. Noor, 36, berkongsi naik semula video seorang pakar pendidikan awal kanak-kanak yang menzahirkan kebimbangan terhadap amalan merotan anak kecil oleh ibu bapa.
“Mindset kolot suka pukul anak. Otak anak boleh rosak, emosi anak boleh rosak dan perkembangan boleh terbantut. Setuju sangat dengan perkongsian ini,” tulis Neelofa ringkas.

Pakar dalam video tersebut turut menekankan penggunaan kekerasan seperti merotan bukan sahaja menyakitkan fizikal, malah boleh menjejaskan perkembangan otak dan emosi anak dalam jangka masa panjang.
Neelofa juga meluahkan rasa kecewa apabila masih ramai ibu bapa yang memilih jalan kekerasan sebagai penyelesaian, sedangkan pendekatan yang lebih lembut, penuh empati dan kasih sayang sebenarnya jauh lebih berkesan dalam membentuk keperibadian anak.
Sekadar info, Neelofa mendirikan rumah tangga bersama Haris Ismail pada 27 Mac 2021.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal 4 tahun, dan Abdullah Abbas, 2 tahun.




