Ejen hartanah bersantai atas lebuh raya sesak dikecam

Ejen hartanah bersantai atas lebuh raya sesak dikecam
Ejen hartanah bersantai atas lebuh raya sesak dikecam

Dua wanita yang baring di lebuh raya sesak akibat kemalangan menerima kecaman netizen di Jepun dan China. Foto Agensi

JEPUN – Dua wanita warga China menerima kecaman hebat selepas bertindak baring di tengah lebuhraya yang sesak akibat kemalangan yang kononnya dijadikan sebagai gambar kenang-kenangan.

Salah seorang wanita terbabit yang menggunakan nama @Dongjingfacaitu di media sosial memuat naik video memaparkan dia dan rakannya berbaring, duduk, minum wiski serta membawa anjing bersiar-siar di tengah-tengah dua deretan kenderaan yang terperangkap di lebuh raya antara Tokyo dan Gunung Fuji.

Kesibukan trafik itu berpunca daripada kemalangan membabitkan dua buah bas pelancong yang menyebabkan 47 orang cedera, kebanyakannya pelancong asing dari Hong Kong dan Taiwan.

Walaupun tiada kecederaan serius dilaporkan, laluan tersebut ditutup sementara bagi membolehkan pasukan penyelamat memberi bantuan, dan mengambil masa berjam-jam sebelum trafik kembali lancar.

Wanita berkenaan turut meluahkan kekecewaan kerana terlepas peluang melihat Gunung Fuji dalam cuaca cerah, namun menyatakan bahawa “semua orang dalam kereta bersikap santai dan kami sempat bergambar kenangan atas lebuh raya”.

Sebuah bas yang terbabit kemalangan di lebuhraya di Jepun sehingga mengakibatkan kesesakan teruk. Foto Agensi

Sebuah bas yang terbabit kemalangan di lebuhraya di Jepun sehingga mengakibatkan kesesakan teruk. Foto Agensi

Video berkenaan menjadi tular di media sosial di Jepun dan China, mencetuskan gelombang kecaman termasuk seruan agar wanita itu dihantar pulang ke negara asal.

Seorang netizen Jepun menulis: “Tingkah laku mereka menyusahkan orang lain.”

Manakala pengguna media sosial China pula berkata: “Jepun patut hantar dia pulang. Orang macam ni yang buatkan ada pihak pandang serong terhadap rakyat China.”

Difahamkan, wanita berkenaan yang telah bekerja sebagai ejen hartanah di Jepun selama lapan tahun dan mempunyai 3,400 pengikut di media sosial, memuat naik video pada 8 April yang dianggap tidak menunjukkan rasa kesal.

Dalam video itu dia mengakui dirinya bermuka tebal”, malah meletakkan gambar dia berbaring atas lebuhraya sebagai imej muka depan akaun media sosial selepas video asal dipadam oleh platform berkenaan.

Peguam Jepun, Hiroshi Mizogami memberitahu Fuji News Network bahawa tindakan wanita-wanita itu adalah berbahaya.

Di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Jepun, perbuatan berbaring, duduk atau berdiri di atas jalan yang menghalang lalu lintas adalah dilarang dan boleh dikenakan denda sehingga 500,000 yen (RM16,700). – Agensi

Scroll to Top