
Wahyu ketika ditahan polis di asrama syarikat tempatnya bekerja di Belitung.
SUMATERA – Seorang penghantar barang ditahan polis selepas didapati menyeleweng wang bayaran tunai ketika penghantaran (COD) bernilai lebih 34 juta rupiah (RM10,000) di Belitung, Bangka Belitung sejak 2023.
Suspek, Wahyu Kurniawan Siregar, 26, ditahan di asrama syarikat tempatnya bekerja selepas laporan dibuat oleh syarikat yang mengalami kerugian besar akibat perbuatan tersebut.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Belitung, AKP Fatah Meilana berkata, wang tersebut sepatutnya diserahkan kepada pihak syarikat setiap hari selepas urusan penghantaran selesai.
“Wang yang diseleweng adalah bayaran COD pengguna berjumlah lebih 34 juta rupiah.
“Bagaimanapun, wang itu sebenarnya tidak pernah diserahkan sejak Februari 2023,” katanya pada Isnin.
Hasil siasatan mendapati suspek menggunakan wang berkenaan untuk berjudi dalam talian, sebelum melarikan diri ke luar kawasan bagi mengelak dikesan.
Fatah memaklumkan, suspek tidak melawan ketika ditahan dan mengaku menggunakan wang itu untuk bermain judi dalam talian.
Tambah beliau, siasatan masih diteruskan dan suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Belitung untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah kesalahan pecah amanah jenayah dan pihak polis turut mengingatkan syarikat serta penghantar supaya lebih berwaspada.-Agensi