
Laporan Sukan Sinar pada Januari lalu.
INSIDEN bumbung bocor pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Super 1000 tidak akan berulang dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia Super 500 di Stadium Axiata Arena.
Itu jaminan Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V Subramaniam selepas venue berkenaan sekali lagi akan menghimpunkan jagoan dunia sukan berkenaan bermula 20 hingga 25 Mei depan.
Malah tegas Subramaniam, pihaknya bersama dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) juga sudah mengambil tindakan untuk memastikan perjalanan kejohanan dalam kalender Siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) itu berjalan lancar.
“Ya, mereka sudah memperbaikinya jadi tiada lagi masalah seperti itu. Cuma kita semua perlu faham kadangkala cuaca bukan dalam kawalan kita.
“BAM bekerja rapat dengan PSM dan mereka menyatakan sudah melakukan apa yang sepatutnya. Jadi, kita juga berdoa agar tiada apa-apa yang akan berlaku,” katanya selepas Majlis Pelancaran Malaysia Masters 2025 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, pada Rabu.
Januari lalu, beberapa perlawanan pembuka tirai Siri Jelajah BWF itu terpaksa ditangguhkan akibat bumbung bocor berikutan hujan lebat sehingga air membasahi gelanggang.