Kesan El Nino kepada hasil sawit tidak serta-merta – Norani

am@hmetro.com.my

Seremban: Kesan fenomena El Nino boleh memberi kesan kepada tanaman dan pengurangan komoditi terutama minyak sawit namun tidak berlaku serta-merta sebaliknya akan dirasai beberapa bulan kemudian selepas cuaca panas dan kekurangan hujan berpanjangan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pihaknya bersama agensi berkaitan seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan terus memantau pengeluaran dan keadaan di lapangan bagi menilai sektor komoditi.

“Kita (kementerian) sememangnya sedang memantau pengeluaran dan keadaan hasil komoditi di lapangan bersama semua agensi berikutan fenomena El Nino kerana cuaca panas dan kekurangan hujan berpanjangan ini boleh memberi kesan kepada pengeluaran hasil berkenaan.

“Bagi sawit, kesannya terhadap hasil lazimnya tidak berlaku serta-merta, tetapi boleh dirasai beberapa bulan kemudian.

“Keutamaan kita ialah membantu pekebun kecil membuat persediaan dan mengurangkan kesan terhadap tanaman serta pendapatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Program Salam Agrikomoditi Peringkat Negeri Sembilan 2026 di Dewan Majlis Bandararaya Seremban, di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Menteri Besar Datuk Ismail Lasim dan turut hadir ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri Sembilan serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan El Nino yang teruk berkemungkinan berlaku pada suku keempat 2026 dan suku pertama 2027.

Terdahulu, Ismail dalam ucapannya berkata, kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik usaha memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) yang mampu memenuhi keperluan sebenar industri di negeri itu.

Menurutnya, Negeri Sembilan tidak boleh hanya menjadi pengeluar bahan mentah tetapi perlu memperkukuh aktiviti pemprosesan, pembungkusan, penjenamaan dan pengedaran supaya lebih banyak nilai ekonomi diwujudkan di dalam negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top