Anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Ekonomi bersepakat untuk menubuhkan pasukan khas bagi memantau projek yang diluluskan oleh Kementerian Ekonomi di peringkat negeri dan daerah.
SPRM dalam kenyataannya tadi memaklumkan, terma pasukan khas ini antaranya adalah pertukaran maklumat antara Kementerian dan SPRM berhubung jumlah peruntukan yang diluluskan kepada Negeri dan Daerah.
Ia termasuk pemeriksaan mengejut dan siasatan kes rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek-projek yang diluluskan.
Selain itu SPRM akan mengenalpasti kelemahan yang wujud dalam Tatacara Pelaksanaan (SOP) dan menambahbaik SOP ke arah pengurusan tata kelola dalam penentuan serta penyaluran bajet, pemantauan dan pelaksanaan projek dengan lebih berkesan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengalu-alukan keseriusan dan keterbukaan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dalam memastikan ketelusan bagi mengekang ketirisan projek-projek yang diluluskan oleh Kementerian Ekonomi demi kepentingan rakyat.
Keterbukaan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Rafizi amatlah penting dan wajar dijadikan contoh untuk lain-lain Kementerian dan agensi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




