Kes pandu lawan arus: Polis tunggu pemandu kereta sedar

Kes pandu lawan arus: Polis tunggu pemandu kereta sedar

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Polis masih menunggu perkembangan pemandu kereta yang didapati memandu melawan arus dan merempuh seorang penghantar makanan hingga parah di Kilometer 8.5, Jalan Kluang, berdekatan Kawasan Perindustrian Sri Gading, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata ketika ini lelaki berusia 54 tahun masih koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Justeru katanya, polis tidak dapat merekodkan keterangan mangsa bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Siasatan mendapati, kemalangan itu berlaku pada jam 9.40 malam membabitkan kereta dipandu lelaki itu dan motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 37 tahun.

“Semasa kejadian, penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari arah Batu Pahat menuju ke Pura Kencana. Apabila tiba di lokasi, berlaku pertembungan dengan kereta dipandu secara melawan arus.

“Akibatnya, pemandu dan penunggang motosikal parah di kepala dan dirawat di zon merah HSNI,” katanya dalam kenyataan.

Shahrulanuar berkata, siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, penghantar makanan, Mohd Hairi Jaafar, 37, patah tangan kiri serta kaki kanan selepas motosikal dirempuh lelaki terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top