Fasa paling kritikal dalam sejarah perjuangan

Fasa paling kritikal dalam sejarah perjuangan

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Pada ketika ini Palestin sedang mengalami fasa paling kritikal yang pernah dihadapinya dalam sejarah perjuangan mereka menuntut kembali hak tanah air yang dirampas dan melawan penjajahan rejim Zionis.

Hal ini rentetan daripada kerakusan dan kezaliman rejim Zionis yang tidak mengendahkan sedikit pun sebarang perjanjian atau undang-undang antarabangsa yang telah dimeterai oleh mereka sendiri. Keadaan semasa ini mengingatkan kita kepada sabda Rasulullah SAW yang menyifatkan umat Islam dikepung dan direbut sebagaimana makanan direbut di dalam pinggan.

Sabda Rasulullah SAW: “Kelak bangsa-bangsa di dunia akan merebutkan kalian sebagaimana direbutnya makanan di atas pinggannya. Salah seorang sahabat bertanya: “Adakah jumlah kami sedikit pada waktu tersebut? Rasulullah SAW menjawab: “Tidak. Bahkan kalian pada hari tersebut sangat ramai, namun kalian seperti buih-buih di lautan. Allah SWT akan mencabutkan rasa takut terhadap kalian daripada dada-dada musuh dan Dia akan mencampakkan penyakit al-wahan dalam hati kamu.” Sahabat itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah SAW, apakah itu al-wahan?” Baginda SAW bersabda: “Cinta akan dunia dan takut kepada mati.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

 

Kenyataan Kesatuan Ulama Islam Sedunia

Melihatkan keadaan semasa ini, Kesatuan Ulama Islam Sedunia pada 4 April lalu mengeluarkan satu fatwa berkaitan kewajipan berjihad mengangkat senjata di Palestin. Menurut Presidennya Syeikh Dr Ali Muhyiddin al-Qaradaghi, Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa kesatuan tersebut telah memutuskan beberapa perkara seperti berikut:n Kewajipan berjihad dengan senjata ke atas setiap Muslim yang berkemampuan.n Kewajipan campur tangan ketenteraan segera oleh negara-negara Arab dan Islam.n Kewajipan mengepung penjajah haram Zionis daripada darat, laut dan udara.n Kewajipan memberikan pertolongan kepada golongan pejuang dari sudut ketenteraan, kewangan, politik dan undang-undang.n Kewajipan menubuhkan pakatan ketenteraan Islam untuk melindungi umat Islam dan menentang pencerobohan.n Mengharamkan normalisasi dengan rejim Zionis.n Mengharamkan penyediaan petroleum dan gas kepada rejim Zionis.n Mengkaji semula semua perjanjian damai yang telah ditandatangani antara negara-negara Arab dengan rejim Zionis.n Kewajipan berjihad dari sudut ekonomi untuk membantu saudara kita di Gaza dan mempercepatkan pembukaan sempadan.n Seruan kepada komuniti Islam di Amerika Syarikat untuk mendesak Trump dan pemerintahannya untuk memenuhi janji pilihan raya dengan menghentikan pencerobohan dan mewujudkan keamanan.Dalam perkembangan semasa juga, pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) bersetuju dan menyokong penuh kenyataan YB Senator Datuk Setia Dr Mohd Naim Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 6 April 2025 untuk diadakan satu perbincangan khas Muzakarah Majlis Hal Ehwal Islam Kebangsaan (MKI) bagi meneliti secara mendalam fatwa ini dan membincangkan implikasi daripadanya, di samping usaha lain yang seiring terus giat dijalankan bagi membantu saudara kita di Palestin seperti Tabung Kemanusiaan Palestin yang telah ditubuhkan.

   

Seruan solidariti

Di kesempatan ini juga, pihak JMWP ingin menyeru seluruh umat Islam mengambil tahu dan peduli tentang nasib yang menimpa saudara-saudara kita di Palestin serta bersikap empati terhadap musibah yang menimpa mereka. Ini sepertimana sifat orang Mukmin yang disifatkan oleh Rasulullah SAW yang apabila ada saudara seislam ditimpa musibah maka seluruh orang Islam akan berasa kesan penderitaan mereka.

Sabda Baginda SAW: “Perumpamaan orang yang beriman dalam berkasih sayang, kecintaan dan simpati seperti tubuh badan yang satu iaitu apabila salah satu anggota badan berasa sakit, maka seluruh badan akan turut berasa sakit dengan berjaga malam dan ditimpa demam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Di samping itu, kita juga hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh dengan menggunakan semua kemampuan dan upaya yang dimiliki. Terdapat banyak cara dan usaha yang masih boleh digerakkan walaupun tidak sebesar yang ditagih oleh rakyat Palestin, namun sekurang-kurangnya kita menggerakkan usaha kita pada peringkat peribadi disebabkan oleh keimanan dan semangat persaudaraan Islam.Antara cara dan usaha yang boleh kita gemblengkan bersama dalam perkara ini telah diperincikan dalam beberapa siri artikel Bayan Linnas seperti berikut:Bayan Linnas Siri Ke-278: Labbaika Ya Aqsa!Bayan Linnas Siri Ke-281: Boikot Ekonomi Sebagai Strategi Melawan Zionis: Nasihat Dan PanduanBayan Linnas Siri Ke-305: Gencatan Senjata Di Gaza, Palestin: Sikap Umat IslamUsaha yang berterusan dalam memberi sokongan kepada Palestin adalah wajib dan merupakan tuntutan kepada setiap orang Islam dalam situasi yang dihadapi oleh mereka sekarang. Qunut Nazilah juga hendaklah diteruskan selagi kezaliman ini tidak berakhir. Sokongan sebegini akan memberi satu semangat kepada rakyat Palestin dan juga akan menarik perhatian negara-negara seluruh dunia untuk bersama mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Zionis-Israel. Kesatuan padu dalam kalangan negara yang menentang kezaliman akan memberi tekanan kepada Zionis-Israel untuk menghentikan kekejaman terhadap Palestin.Pada hakikatnya, umat Islam sekarang berada dalam situasi yang sangat genting dalam menentukan masa depan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka. Kita sebagai umat Islam yang sedang menyaksikan dan memerhatikan perkembangan ini seharusnya mempunyai sikap yang ingin berusaha dengan segenap upaya untuk memastikan impian ini kekal menyala.

Oleh yang demikian, apa jua usaha dan sumbangan yang kita lakukan dengan meniatkan untuk membantu agama Allah SWT dan saudara seagama kita, tidak kira sekecil apa sekalipun dilakukan segala-galanya akan menjadi saksi dan hujah kepada kita kelak di hadapan Allah SWT bahawa kita turut sama-sama berkorban dan berusaha membantu perjuangan ini.

Waallahu a’lam.

Penulis Mufti
Wilayah Persekutuan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top