Mahu pentas karya baru

Mahu pentas karya baru

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Selain drama dan filem, teater juga menyumbang kepada industri hiburan tempatan. Bahkan, penggiat seni teater juga hingga kini gigih meneruskan perjuangan mereka.

Begitu juga dengan Persatuan Seni dan Budaya Redholah atau lebih dikenali sebagai The Redholah. Baru beberapa tahun aktif mementaskan teater, namun untuk 2025 ini tetap ada karya dipentaskan tidak lama lagi.

Susulan kejayaan pementasan dua teater iaitu Cinta Ahmad Mutawakkil dan Dang Anum (The Untold Story) tahun lalu, The Redholah kini dalam persiapan untuk mementaskan beberapa karya baru.

Pengarah teater, Amirul Haswendy Ashari berkata, tahun ini The Redholah bakal terbabit mementaskan empat atau lima karya baru buat tontonan penggemar teater.

“Insya-Allah, The Redholah juga akan kembali mementaskan semula teater Cinta Ahmad Mutawakkil susulan kejayaan meraih hampir 2,000 penonton pada Festival Budaya Putrajaya tahun lalu.

“Selain itu, tiga judul baru turut dalam perancangan iaitu Dendam Laksamana – Demi Takhta dan Kuasa, Gelanggang Tok Wali dan sebuah teater kanak-kanak yang tidak kurang hebat.

“Bukan itu saja, ada juga satu atau dua karya lain yang masih dalam proses penulisan skrip dengan jalan cerita agak menarik. Apa pun, saya harap ia dapat sambutan,” katanya.

Menurut Amirul lagi, semua judul teater berkenaan dijangka dipentaskan pada skala besar dan sederhana di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang termasuk di Melaka.

Bagi memantapkan setiap pementasan, The Redholah turut bekerjasama dengan beberapa entiti seni dan budaya seperti Cupia Arts, Syark’s Bae Venture, ArfaaDina Ent dan Rynech Megatrade Sdn Bhd.

“Selain mereka, The Redholah juga meneruskan kerjasama dengan Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Puncak Perdana di bawah bimbingan pensyarah Sinografi, Ts Mohd Kamil Zulkepeli.

“Apatah lagi, The Redholah turut menerima kira-kira 10 pelajar dari institusi pengajian tinggi (IPT) itu untuk menjalani latihan industri dalam bidang seni kreatif,” kata Amirul.

Jelasnya lagi, dalam pada itu The Redholah mengalu-alukan kerjasama dan tajaan dari pelbagai syarikat yang berminat untuk merakyatkan seni pementasan teater secara komersil.

Bagaimanapun, sebagai permulaan The Redholah juga bakal mengadakan sesi uji bakat secara fizikal dan atas talian (online) untuk pencarian bakat lakonan teater yang diumumkan dalam masa terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top