am@hmetro.com.my
Seremban: “Ini yang saya tunggu-tunggu, minat saya memang dalam kejurulatihan,” kata Zul Amirul Sidi Abdullah, 53, yang berita mengenai kesukaran hidup dihadapi bekas atlet paralimpik itu disiarkan 11 April lalu.
Zul Amirul menerima surat pelantikan sebagai jurulatih renang para Negeri Sembilan daripada Persatuan Renang Para Negeri Sembilan tiga hari selepas kisahnya disiarkan.
Bekas atlet renang para Negeri Sembilan dan negara itu berkata, hatinya sedikit terubat dengan pelantikan itu kerana sebelum ini jasa dan bakatnya seolah dilupakan.
“Saya bukan mahu salahkan mana-mana pihak, tetapi berkecil hati kerana rasa seperti dilupakan, lebih-lebih ketika mahu sambut Aidilfitri apabila saya tidak dapat penuhi keperluan keluarga.
“Dengan pelantikan ini, semangat saya berkobar-kobar kembali, saya letak tepi dahulu berapa jumlah elaun atau pendapatan yang bakal diperoleh kelak, yang penting ‘passion’ saya dalam sukan ini dapat diterjemahkan,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Exco Belia dan Sukan, Datuk Mustapha Nagor di kediamannya malam tadi.
Turut hadir pertemuan itu, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Ahmad Syariffuddin Sarmin bersama pegawainya serta Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS), Zulkifli Muhamed.
Bapa kepada lima anak itu berkata, peluang untuk menjadi jurulatih renang bagi pertubuhan itu adalah perkara yang ditunggu dan sangat bersyukur apabila menerima surat tawaran.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Persatuan PCRS yang membawa perkara ini kepada pihak media seterusnya mendapat liputan dan menerima perhatian pelbagai pihak.
“Terima kasih juga kepada Datuk Mustapha kerana menjenguk saya. Bukan nilai bantuan yang saya pandang, tetapi hati lebih terubat apabila ada orang ingat kita, jenguk pun sudah cukup,” katanya.
Sementara itu, Mustapha berkata, dia mewakili pimpinan kerajaan negeri turun padang menyantuni Zul Amirul dan menyampaikan sagu hati kepada atlet itu.
“Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) sendiri bertanyakan perkara ini dan ia dibincangkan dalam mesyuarat exco yang lalu.
“Saya difahamkan Zul Amirul sudah menerima surat pelantikan sebagai jurulatih atlet para.
“Beliau seorang yang mempunyai semangat dan minat yang mendalam dalam sukan ini.
“Kami di peringkat kerajaan negeri boleh beri ruang dan peluang kepada Zul Amirul untuk terus melahirkan atlet renang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




