sukan@hmetro.com.my
Kangar: Persatuan Badminton Perlis (PsBA) menyokong penuh pencalonan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei hadapan.
Presidennya, A’amar Hashim berkata, pihaknya dengan penuh keyakinan melihat bahawa kepimpinan Tengku Zafrul mampu membawa dimensi baharu kepada pembangunan sukan badminton negara.
“Kita (PsBA) yakin bahawa beliau (Tengku Zafrul) mampu membawa dimensi baharu kepada pembangunan sukan badminton negara melalui pendekatan yang strategik, berwibawa dan berdaya saing.
“Malah, dengan latar belakang yang kukuh dalam bidang pentadbiran dan pengurusan, kami yakin bahawa beliau berkeupayaan untuk memperkukuhkan lagi kedudukan BAM sebagai badan induk badminton negara yang lebih dinamik, telus dan progresif,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PsBA Kali ke-44 di sebuah hotel di sini hari ini.
Katanya, sokongan berkenaan dizahirkan oleh seluruh barisan kepimpinan PsBA serta ahli gabungan mereka kerana melihat kemampuan Tengku Zafrul dalam mentadbir organisasi sukan yang besar seperti BAM.
“Pada masa yang sama juga, PsBA amat berbesar hati apabila sekali lagi Perlis diberi mandat oleh BAM untuk menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 1 hingga 6 Julai depan.
“Kepercayaan ini juga dilihat mencerminkan keyakinan BAM terhadap komitmen dan keupayaan PsBA dalam penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa
“Sehubungan itu, kita menyeru semua ahli gabungan BAM untuk bersama-sama menyokong kepimpinan baharu ini demi masa depan badminton negara yang lebuh gemilang dan berdaya saing,” katanya.
Jawatan Presiden BAM kembali kosong susulan peletakan jawatan Tan Sri Norza Zakaria pada 24 Ogos tahun lalu selepas tujuh tahun mengetuai badan induk badminton negara itu.
Peletakan jawatan itu dilakukan sebaik berakhirnya temasya Sukan Olimpik di Paris.
Dalam perkembangan lain pula, A’amar sekali lagi diberi mandat dan kepercayaan untuk terus menerajui PsBA bagi tempoh 2025-2029 dalam pemilihan pada AGM berkenaan.
Ini adalah penggal ketiga A’amar yang juga bekas pemain kebangsaan negara memegang jawatan sebagai presiden sejak 2017.
© New Straits Times Press (M) Bhd




