Bismillah, zikir dan baca doa Nabi Sulaiman halau gajah

Bismillah, zikir dan baca doa Nabi Sulaiman halau gajah

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Tiada ilmu khusus diguna (untuk halau gajah) melainkan hanya bacaan Bismillah, zikir dan doa Nabi Sulaiman,” kata Mohamad Amir Faizal Mohd Zaki, 47.

Menceritakan semula kejadian, Mohamad Amir berkata, dia sedang melakukan rondaan pemantauan keselamatan di Jalan Raya Timur-Barat antara Gerik-Jeli kira-kira jam 5 petang pada 12 April lalu.

“Ketika melalui laluan berhampiran Empangan Pergau, saya melihat ada seekor gajah yang memasuki jalan raya dan menuju ke arah sebuah kereta.

“Saya cuma ‘arahkan’ gajah itu supaya masuk semula ke hutan dan gajah terbabit pun kembali ke tepi jalan.

“Perkara ini dilakukan demi memastikan keselamatan pengguna selain mahu memastikan kelancaran trafik di laluan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohamad Amir berkata, dia yang juga sukarelawan Skuad Sungai Petani Response Team mengambil inisiatif untuk melakukan rondaan pemantauan di lebuh raya berkenaan sejak November 2023.

“Tujuan saya buat rondaan itu bagi membantu pengguna jalan yang mengalami kemalangan, tayar pancit, pokok tumbang atau apa sahaja yang memerlukan bantuan.

“Ia bagi menghulurkan bantuan awal kepada pengguna jalan raya memandangkan jarak lebuh raya berkenaan yang terletak di kawasan yang terpencil menyebabkan pasukan penyelamat mengambil masa hampir satu jam untuk sampai ke lokasi sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Menurutnya, dia perlu menempuh perjalanan kira-kira 400 kilometer (km) dari rumahnya di Sungai Petani, Kedah untuk melakukan rondaan pada masa terluang dengan menunggang motosikal.

“Kadang-kadang ada juga saya bawa isteri serta anak bersama dan kami akan singgah beriadah di Banjaran Titiwangsa. Selain membantu orang lain, saya boleh beriadah bersama keluarga.

“Sepanjang perjalanan membuat rondaan, saya sering amalkan membaca Bismillah dan berzikir. Apabila berdepan haiwan pula, saya akan baca doa Nabi Sulaiman,” katanya.

Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak berhenti mengambil gambar sekiranya terserempak dengan haiwan liar di lebuh raya berkenaan.

“Apabila nampak gajah, jangan berhenti untuk ambil gambar kerana haiwan itu tidak suka. Selain gajah, saya sendiri pernah terserempak dengan harimau di lebuh raya itu.

“Pengguna jalan raya juga diminta tidak berhenti di laluan yang sunyi dan memberikan makanan kepada haiwan. Apabila nampak haiwan, jangan perlahankan kenderaan dan teruskan perjalanan,” katanya.

Terdahulu, rakaman video berdurasi dua minit 11 saat yang memaparkan Mohamad Amir menghalau seekor gajah tular di media sosial, baru-baru ini.

Dalam video berkenaan, Mohamad Amir dilihat ‘memberikan arahan’ kepada gajah berkenaan supaya masuk semula ke dalam hutan selepas menyeberangi laluan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top