Selangor panggil mesyuarat koordinasi bincang isu banjir kilat esok

Selangor panggil mesyuarat koordinasi bincang isu banjir kilat esok

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Satu mesyuarat koordinasi bagi membincangkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang akan diadakan esok agar isu berkenaan dapat ditangani segera.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata mesyuarat berkenaan akan membabitkan beberapa pihak berkaitan termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Saya melihat sendiri kesan banjir kilat akibat kadar hujan lebat minggu ini yang memberikan impak terhadap penduduk terutamanya di kawasan seperti Taman Melawis di Klang dan Taman Sri Muda di Shah Alam.

“Sebagai usaha permulaan, Setiausaha Politik saya, Saifuddin Shafi akan memanggil mesyuarat koordinasi segera esok membabitkan semua pihak agar isu ini ditangani segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pejabatnya turut dihubungi oleh penduduk yang menyatakan keresahan serta kerisauan mereka terhadap situasi yang berulang kerana komponen Rancangan Tebatan Banjir yang dirasai kurang disegerakan.

Katanya, susulan itu, Exco Infrastruktur Datuk Ir Izham Hashim sudah diarahkan untuk mengatasi dengan segera semua isu yang menyebabkan proses pembinaan usaha tebatan banjir sama ada di peringkat tempatan, negeri ataupun Persekutuan.

Amirudin berkata, penyelesaian jangka panjang harus dilaksanakan secepat mungkin melalui kerjasama semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan.

Terdahulu, lebih 1,500 penduduk berhimpun bagi mendesak penyelesaian tuntas bagi menamatkan isu banjir di Taman Sri Muda, Kota Kemuning serta Batu 8 dekat sini, hari ini.

Jurucakap penduduk, K Umagandhan berkata, desakan itu bagi melahirkan rasa kesal dengan isu banjir yang didakwa masih berterusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top