Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Perak dan Selangor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus mencatatkan penurunan petang ini.
Di PERAK, jumlah mangsa menurun kepada 51 orang daripada 16 keluarga setakat 2 petang ini berbanding 110 orang malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan hanya sebuah PPS masih beroperasi, iaitu Dewan Bandaran Gopeng di daerah Kampar, selepas PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Matang Gelugor ditutup 1 tengah hari tadi.
Menurut kenyataan itu, kesemua 51 mangsa yang masih ditempatkan di Dewan Bandaran Gopeng merupakan penduduk Kampung Ulu Geruntum yang dipindahkan di PPS berkenaan sejak 20 Jun.
Sementara itu, sebanyak 50 mangsa daripada 13 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Matang Gelugor sejak Rabu lepas dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Di SELANGOR, jumlah mangsa di PPS SK RTB Bukit Changgang, Banting turut menurun kepada 309 orang petang ini berbanding 406 orang semalam.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, PPS berkenaan kini menempatkan mangsa daripada kawasan Taman Langat Utama 2, RTB Bukit Changgang.
Khamis lepas, media melaporkan sebanyak 32 rumah di kawasan itu terjejas akibat banjir selepas kejadian ban pecah kira-kira 800 meter dari kawasan perumahan berkenaan pada malam Rabu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




