London: ‘Sumpahan Crucible’ terus menjadi igauan buat juara bertahan apabila Kyren Wilson tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Snuker Dunia selepas tewas 9-10 kepada pendatang baharu dari China, Lei Peifan.
Wilson, 33, menjadi pemain ke-20 yang gagal mempertahankan kejuaraan selepas merangkul gelaran dunia buat kali pertama, sekali gus mengesahkan tiada juara baharu pernah berjaya mempertahankan gelaran sejak kejohanan dipindahkan ke Teater Crucible pada 1977.
Pertarungan penuh dramatik itu menyaksikan Wilson mendahului 6-2, namun Peifan bangkit dengan aksi luar biasa – termasuk enam break separuh abad berturut-turut – untuk merampas kelebihan dan mendahului 9-6 dalam aksi pembukaan malam Sabtu.
Wilson yang juga pemain nombor dua dunia, cuba menghidupkan kembali peluang dengan clearance bergaya 106 dan memaksa perlawanan ke decider, namun Lei tampil tenang di bawah tekanan dan menghadiahkan ‘break’ 66 mata untuk menamatkan perlawanan.
“Sukar untuk diterima. Saya ada rekod baik di Crucible. Saya jauh dari prestasi sebenar tetapi tetap memaksa perlawanan ke frame penentuan,” kata Wilson yang mengharungi musim panjang dengan empat gelaran ranking termasuk Terbuka Scotland.
“Saya bangga dengan cara saya menanganinya dan bangga dengan kejayaan yang dicapai.”
Sementara itu, Peifan, 21, jelas terharu dengan kejayaan besar dalam penampilan pertamanya di pentas berprestij itu.
“Ia satu perasaan yang luar biasa. Saya menang gelaran pertama di Terbuka Scotland dan ini pula penampilan sulung Crucible saya – kedua-duanya sangat bermakna,” katanya.
Peifan yang kini menghuni ranking ke-39 dunia dan melalui pusingan kelayakan untuk ke kejohanan ini, akan bertemu Zhao Xintong atau Jak Jones di pusingan 16 terbaik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




