surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Penuntut sebuah universiti di negeri pantai timur mendakwa seorang lelaki menyalahgunakan data peribadi orang lain untuk didaftar dalam pelaburan emas sebagai ahli.
Perkongsian wanita mahu dikenali sebagai Iqa, 23, di aplikasi X menjadi tular di media sosial sehingga mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Jabatan Perlindungan Data Peribadi (PDP) supaya berkongsi aduan mengenai salah guna data peribadi dalam transaksi komersial itu.
Mendedahkan perkara itu, Iqa yang juga penuntut jurusan Pengurusan Kekayaan Islam berkata, pada mulanya dia berniat untuk menyewa kereta sewa pada 17 April lalu dan lelaki itu memintanya mengisi maklumat peribadi seperti biasa.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila malamnya, lelaki itu terus bagi step (langkah) untuk beli emas, siap buatkan akaun tanpa minta izin, ‘username’ dan kata laluan menggunakan nombor kad pengenalan saya.
“Saya tertanya-tanya, adakah macam ini cara ejen mendapat pelanggan, dengan menggunakan data peribadi orang tanpa mendapat keizinan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Dalam perkongsian sama, Iqa turut menunjukkan bukti perbualan dengan lelaki dipercayai ejen pelaburan emas itu yang menunjukkan langkah untuk ‘login’ akaun yang sudah didaftarkan atas nombor kad pengenalannya.
“Sorry (maaf) macam mana boleh dapat nombor IC (kad pengenalan) saya?” tanyanya.
Lelaki itu pantas menjawab menerusi ‘kereta sewa’ atas alasan saja mendaftarkan akaun pelaburan emas tanpa meminta izin daripada wanita itu.
“Saya tak bagi sebarang keizinan untuk daftar dan boleh buat report (laporan), maklumat peribadi bukan sebarangan boleh salah guna?” tanyanya.
Bagaimanapun, jawapan lelaki itu nyata mengecewakannya dan masih menunjukkan minat untuk ‘menarik’ wanita itu untuk melabur emas selain mahu sokongan untuk mencapai indeks prestasi utama (KPI).
“Sebab nak capai KPI sanggup salah guna data peribadi orang lain, ini ke cara ejen pelaburan emas buat ‘sales’ selama ini,” katanya.
Katanya, paling mengecewakan apabila lelaki itu mahu menyelesaikan kes hanya dengan belian emas pertama bernilai RM100 agar tidak memanjangkan kes berkenaan.
“Saya sangat marah kerana data peribadi saya diambil untuk tujuan lain,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, Terengganu.
Katanya, dia juga akan membuat laporan kepada PDP sebagai pengajaran kepada lelaki itu dan orang lain.
Ditanya mengenai permohonan maaf lelaki itu dan meminta memadamkan hantaran yang dibuat, dia tidak akan memadamkan hantaran itu dan meneruskan membuat laporan polis kedua bagi tuntutan sivil.
“Hantaran saya berniat untuk memberi kesedaran kepada orang ramai yang mungkin malu dan takut untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Perkara ini juga mungkin akan menjadi peringatan kepada mana-mana pihak yang sengaja mengambil dan menggunakan data peribadi orang lain dengan tujuan tertentu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berhubung kes berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




