KPM sedang kenalpasti sekolah untuk laksana PdPR ketika Sidang Kemuncak ASEAN – Fadhlina

KPM sedang kenalpasti sekolah untuk laksana PdPR ketika Sidang Kemuncak ASEAN – Fadhlina

am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenalpasti bilangan sekolah yang berkemungkinan berdepan masalah kesesakan lalu lintas sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei dan Oktober depan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia adalah bagi membolehkan sekolah terbabit melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika persidangan berkenaan diadakan.

“Memang ada perbincangan (soal PdPR ketika sidang ASEAN) dan kita (KPM) sedang mengenalpasti sekolah-sekolah yang terlibat.

“Bukan sahaja untuk memastikan kelancaran (sidang ASEAN) tetapi juga untuk mengelakkan kesesakan jalan raya (bagi pelajar dan guru yang nak ke sekolah).

“Jadi, tidak ada masalah dan kita bersedia untuk proses itu (PdPR) dan kita memberikan komitmen sepenuhnya kerana memang perkara berkenaan dibincangkan oleh pihak kita,” katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan supaya PdPR dilaksanakan ketika Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei dan Oktober depan bagi mengelak masalah kesesakan lalu lintas, terutama di Lembah Klang dan Putrajaya.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pada Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Pada Pakaian Seragam Murid dibawah Insitutsi Pendidikan KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi, di sini, hari ini.

Mohamad pada Khamis lalu, mengumumkan terdapat cadangan untuk melaksanakan bekerja dari rumah (WFH) dan PdPR semasa Sidang Kemuncak ASEAN dan ia akan dibawa ke perhatian Kabinet.

Beliau dilaporkan berkata, cadangan itu timbul berikutan kesulitan dialami oleh rakyat khususnya di Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila berhadapan kesesakan lalu lintas teruk susulan penutupan jalan bagi memberi laluan kepada lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia, baru-baru ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top