hafidzul@hmetro.com.my
Seri Kembangan: Sebuah unit kediaman di tingkat lima sebuah apartmen di Taman Pinggiran Putra di sini, musnah kira-kira 80 peratus dalam satu kejadian kebakaran, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 12.12 tengah hari.
Susulan itu, sepasukan 15 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan dengan bantuan BBP Cyberjaya digerakkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, Saharudin Abd Razak berkata, pasukan operasi tiba di lokasi pada jam 12.22 tengah hari dan mendapati api sedang marak.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah di bangunan pangsapuri lima tingkat.
“Kediaman berkeluasan 20 x 70 kaki persegi itu terbakar kira-kira 80 peratus,” katanya.
Menurutnya, tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak pada jam 12.37 tengah hari.
“Api kemudiannya berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.05 petang.
“Operasi pemadaman tersebut turut melibatkan penggunaan dua buah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), dan sebuah lori tangki air (WT),” katanya.
Katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan mangsa dilaporkan dalam insiden ini. Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
© New Straits Times Press (M) Bhd




