RUU Pisah AG dan Pendakwa Raya: Fahmi gesa sokongan dua pertiga di Parlimen

RUU Pisah AG dan Pendakwa Raya: Fahmi gesa sokongan dua pertiga di Parlimen

PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan fungsi Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya disifatkan sebagai reformasi institusi besar kerajaan, namun pelaksanaannya kini bergantung kepada sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen apabila ia dibahaskan untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, cadangan tersebut telah melalui sesi libat urus serta penelitian Jawatankuasa Pilihan Khas sebelum dibawa untuk dibahaskan dan diluluskan dalam sidang Parlimen semasa.

Menurutnya, kerajaan komited melaksanakan reformasi berkenaan yang bertujuan memperkukuh kebebasan institusi pendakwaan daripada cabang eksekutif.

“Ini merupakan satu usaha reformasi besar yang mana pihak kerajaan dan Jemaah Menteri komited untuk melaksanakannya. Sesi libat urus serta dapatan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas telah dipertimbang dan insya-ALLAH dalam masa yang tidak terlalu lama, pada sidang Parlimen ini, pihak kerajaan bersedia untuk membawa ia dibahaskan dan diluluskan,” katanya pada sidang akhbar mingguan di sini pada Jumaat.

Fahmi bagaimanapun menegaskan kejayaan pindaan tersebut tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan rentas parti termasuk pembangkang.

Katanya, reformasi itu penting bagi memastikan Pendakwa Raya bebas daripada pengaruh mana-mana pihak, khususnya cabang eksekutif dalam membuat keputusan pendakwaan.

“Kalau diteliti, inilah sebenarnya yang akan menjamin bahawa Pendakwa Raya yang mempunyai kuasa besar tidak akan dikuasai ataupun diarah oleh mana-mana pihak untuk tujuan tertentu,” katanya.

Menteri Komunikasi itu turut menegaskan bahawa proses penambahbaikan RUU tersebut turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Madani mendengar dan membawa perubahan yang diminta oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat tanpa mengira parti mana,” jelas beliau.

Dalam masa sama, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR turut membuka persoalan sama ada pembangkang akan memberikan sokongan bagi mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk pindaan Perlembagaan tersebut.

“Ini satu reform, satu usaha penambahbaikan yang sangat baik untuk demokrasi negara kita dan akan menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat selama ini,” ujarnya.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu.

Selepas bacaan kali kedua pada 3 Mac lalu, RUU itu dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya (JKPK) untuk diperhalusi dan dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Mengulas isu kehadiran dan disiplin undi Ahli Parlimen, Fahmi berkata, perbezaan perlu dilihat antara peringkat Persekutuan dan negeri, selain menegaskan Kerajaan Perpaduan kekal utuh.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap keputusan undi di Parlimen akan direkodkan dalam Hansard dan menjadi rujukan rakyat pada masa akan datang.

“Jadi sukacita saya ingatkan juga mereka yang hadir, tidak hadir, menyokong atau tidak menyokong akan dirakam selama-lamanya dalam Hansard Parlimen,” katanya.

Tambah Fahmi, ahli Parlimen tidak kira blok kerajaan atau pembangkang perlu meletakkan kepentingan negara dan institusi demokrasi melebihi politik kepartian dalam mempertimbangkan sokongan terhadap pindaan berkenaan.

Scroll to Top