am@hmetro.com.my
Baling: Kehilangan seorang lelaki warga emas sejak tiga hari lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di kawasan kebun getah, Kampung Charuk Kelian, Ulu Pulai, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, petugas kaunter aduan di Balai Polis Kupang menerima maklumat pada jam 11 pagi tadi daripada seorang wanita memaklumkan penemuan mayat lelaki warga emas itu di kawasan kebun getah berkenaan.
Berikutan itu, katanya, pegawai penyiasat bersama Ketua Balai Polis Kupang tiba di lokasi berkenaan bersama pegawai Pusat Kesihatan Daerah untuk melihat keadaan mayat berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hari lalu.
“Pengesahan identiti mayat warga emas itu dilakukan oleh anaknya yang mengesahkan mayat itu adalah bapanya, Eng Lee Mee berusia 71 tahun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azmi berkata, berdasarkan soal siasat terhadap anak warga emas itu, dia memaklumkan sudah membuat laporan polis di Balai Polis Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Jumaat lalu berhubung kehilangan bapanya.
Beliau berkata, warga emas itu didapati keluar seorang diri dengan memandu sebuah kereta Perodua Axia.
“Anak mangsa memaklumkan yang bapanya menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan pelupa (nyanyuk).
“Bagaimanapun, hasil siasatan polis di lokasi kejadian mendapati kematian mangsa tiada sebarang unsur jenayah.
“Barangan berharga milik mangsa juga masih ada bersama mayat berkenaan ketika ditemui,” katanya.
Azmi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Terdahulu, keluarga mangsa turut memaklumkan kehilangan warga emas terbabit di media sosial Facebook (FB) yang hilang sejak Jumaat lalu kerana bimbangkan keselamatannya disebabkan usianya yang sudah lanjut dan mempunyai masalah nyanyuk.
© New Straits Times Press (M) Bhd




